COVID-19: Beberapa negara mula terima bekalan vaksin

Astro Awani
Januari 12, 2021 06:00 MYT
Penghantaran pertama vaksin yang mengandungi vaksin Covishield yang dihasilkan serum Institute of India serta dibangunkan University Oxford dan Astrazeneca meninggalkan bandar Pune pada Selasa. - Foto REUTERS/Thomas Peter
Itali, Sepanyol dan India antara senarai negara terbaharu menerima bekalan vaksin COVID-19.
Di Itali, bekalan pertama vaksin Moderna selamat tiba di Institut Kesihatan Itali di Rom pada Selasa.
Negara tersebut diperuntukkan sejumlah 470,000 dos vaksin Moderna.
Dos pertama dijangka diedarkan ke seluruh wilayah di Itali di 293 pusat vaksin bermula Selasa.
Pada 27 Disember lalu, lebih 718,000 rakyat negara itu menerima dos pertama suntikan vaksin Pfizer - BioNTech.
Sepanyol juga mula menerima bekalan pertama dos vaksin Moderna, menurut kementerian kesihatannya.
Bekalan pertama itu juga selamat tiba dari Belgium di bandar Sepanyol pada Selasa pagi walaupun keadaan cuaca dilaporkan teruk.
Lebih 35,000 dos menerusi bekalan pertama itu mencukupi untuk proses inokulasi buat lebih 12,000 rakyatnya.
Pihak berkuasa Sepanyol kemudiannya memaklumkan, ia akan mula diedarkan secara sama rata di wilayah-wilayah negara itu.
Sementara itu, pihak berkuasa di India mula mengedarkan vaksin COVID-19 ke beberapa bandar, iaitu empat hari menjelang hari vaksinasi di seluruh negara.
Penghantaran pertama vaksin yang mengandungi vaksin Covishield yang dihasilkan serum Institute of India serta dibangunkan University Oxford dan Astrazeneca meninggalkan bandar Pune pada Selasa.
Vaksin itu dibawa dengan trak yang mempunyai kawalan suhu menuju ke lapangan terbang bandar itu dan kemudiannya dimasukkan ke dalam pesawat peribadi untuk diedarkan ke seluruh negara.
Mulai Sabtu ini, India akan memulakan program vaksinasi secara besar-besaran yang melibatkan sekitar 30 juta doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan lain.
Vaksin tersebut kemudian akan diberikan kepada kira-kira 270 juta rakyatnya yang berusia lebih 50 tahun atau yang mempunyai masalah kesihatan lain yang mungkin berdepan risiko kematian jika dijangkiti COVID-19.
#COVID-19 #vaksin #AstraZeneca #Pfizer #BioNTech #India
;