COVID-19: Bantuan ASD28.6 bilion khas buat pemilik restoran
Astro Awani
Mei 6, 2021 08:05 MYT
Mei 6, 2021 08:05 MYT
PRESIDEN Amerika Syarikat, Joe Biden memaklumkan, program bantuan bernilai ASD28.6 bilion adalah untuk membantu restoran dan kedai-kedai makan yang mengalami kerugian akibat pandemik COVID-19.
Ini kerana, jelasnya, pada tahun 2020 sahaja, lebih 2.3 juta restoran terpaksa menutup operasi.
“Restoran adalah pemacu utama ekonomi negara. Ia adalah nadi kepada komuniti kita dan bagi kebanyakan keluarga, restoran adalah peluang serta kunci utama di Amerika.
“Terdapat keluarga pelbagai kaum, etnik, budaya di negara ini yang merealisasikan impian rakyat Amerika bersama keluarga mereka untuk memiliki sebuah restoran.
"Bagi kebanyakan pekerja, ini adalah perkembangan ekonomi buat mereka,” katanya di Washington DC pada Rabu.
White House sebelum ini memaklumkan, 186,200 restoran, bar dan perniagaan lain yang layak, sudah memohon bantuan menerusi program merancakkan semula restoran dua hari selepas ia dilancarkan.
Program itu membolehkan restoran dan bar menerima geran, susulan kerugian yang dialami, dengan had ASD10 juta bagi setiap perniagaan dan ASD5 juta bagi setiap lokasi.
Lebih 50 peratus permohonan yang dikemukakan adalah pemilik restoran wanita dan golongan veteran.
Program ini adalah sebahagian daripada pelan rangsangan ekonomi pentadbiran Biden bernilai ASD1.9 trilion.
#White House
#ekonomi
#Amerika Syarikat
#COVID-19
#Joe Biden
#pandemik
#Kedai makan
#restoran
#tutup
#perniagaan
#bantuan
#Pelan Rangsangan Ekonomi
#Geran
#kerugian