COVID-19: Bangkok lancar Unit Vaksinasi Bergerak

Bernama
September 8, 2021 06:40 MYT
Petugas kesihatan menyediakan dos vaksin AstraZeneca COVID-19 di dalam sebuah Unit Vaksinasi Bergerak di Bangkok, Thailand, 8 Sept 2021. (Foto AP)
BANGKOK: Bangkok pada Rabu melancarkan Unit Vaksinasi Bergerak untuk memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada golongan warga emas dan yang berisiko.
Projek perintis itu dilancarkan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) bagi meningkatkan lagi usaha vaksinasi.
Sebuah bas yang dilengkapi dengan pasukan vaksinasi akan ditugaskan menyuntik golongan berkenaan di lokasi terpilih di bandar raya itu.
Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang berkata unit itu dikendalikan enam hingga tujuh petugas termasuk tiga anggota perubatan, seorang pemandu dan petugas mengendalikan kertas kerja.
"Unit itu mampu menyuntik lebih 1,000 individu sehari. BMA merancang menyediakan tujuh lagi unit," katanya.
Program vaksinasi Thailand agak perlahan berbanding negara jiran di rantau ini. Terkini, Thailand telah memberikan 37.46 juta dos vaksin COVID-19 termasuk 607,177 suntikan dos tambahan atau booster.
Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 14,176 kes baharu COVID-19 dan 228 korban, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 1,322,519 dan 13,511 kematian.
Sementara itu, seorang daripada 45 pekerja Thailand yang dihantar pulang dari Malaysia dan menjalani kuarantin wajib di sebuah hotel disahkan positif COVID-19.
Media tempatan melaporkan sekumpulan 43 kru bot nelayan dan dua wanita ditahan di Malaysia kerana masuk secara haram sebelum dihantar pulang dari Kedah pada 3 Sept melalui pusat pemeriksaan sempadan Sadao di Songkhla.
-- BERNAMA
#Bangkok #unit vaksinasi bergerak #COVID-19 #program vaksinasi
;