COVID-19: Banduan merusuh, lapan maut, 50 cedera di Colombo

Khairunnisa Kasnoon
November 30, 2020 06:21 MYT
Rusuhan berkaitan wabak dilaporkan meningkat di penjara-penjara yang penuh sesak di Sri Lanka sejak beberapa minggu kebelakangan ini susulan peningkatan kes COVID-19 di fasiliti tersebut. - Gambar fail
SEKURANG-kurangnya lapan banduan maut dalam penjara di Sri Lanka selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan bagai mengawal rusuhan.
Menurut pihak berkuasa, 50 banduan lain cedera, sementara dua anggota pengawal juga dilaporkan kritikal.
Kejadian berlaku di sebuah penjara di pinggir ibu kota Colombo pada Isnin.
Rusuhan berkaitan wabak dilaporkan meningkat di penjara-penjara yang penuh sesak di Sri Lanka.
Sri Lanka menyaksikan peningkatan kes COVID-19 bulan lalu dan penjara yang sesak di seluruh negara telah melaporkan ribuan kes jangkitan baru.
Para tahanan melakukan tunjuk perasaan sejak beberapa minggu di penjara susulan peningkatan kes COVID-19 di fasiliti tersebut.
Lebih 1,000 banduan disahkan positif dan sekurang-kurangnya dua maut akibat virus berkenaan setakat ini.
Sementara itu, kira-kira 50 pengawal penjara juga disahkan positif.
Penjara di Sri Lanka sangat padat dengan lebih daripada 26,000 tahanan ditempatkan di kemudahan yang berkapasiti 10,000 orang.
Menurut data Johns Hopkins University, Sri Lanka mencatatkan 22,988 kes positif jangkitan COVID-19 dan 109 kematian.
#Sri Lanka #maut #tembakan #penjara #keselamatan #COVID-19 #banduan #rusuhan #wabak #Colombo
;