COVID-19: Bakal wajibkan penumpang ambil vaksin, Qantas 'diserang' golongan antivaksin

Agensi
November 25, 2020 10:53 MYT
Golongan antivaksin mendakwa mereka lebih rela tidak melancong daripada diarah mengambil vaksin susulan polisi penerbangan Qantas mewajibkan pengambilan vaksin. - Gambar fail
SUSULAN pengumuman Qantas yang bakal mewajibkan penumpang destinasi antarabangsa untuk mengambil vaksin COVID-19, syarikat penerbangan utama Australia tersebut ‘diserang’ golongan antivaksin.
Puluhan ribu ahli kumpulan itu ‘mensabotaj’ pungutan suara dalam talian pada laman Instagram A Current Affair dengan mendakwa mereka lebih rela tidak melancong daripada diarah mengambil vaksin.
Tinjauan “Adakah anda akan mengambil vaksin untuk penerbangan antarabangsa?” itu dibanjiri respons negatif golongan antivaksin dengan 88 peratus undian tidak akan terbang ke luar negara dengan perkhidmatan Qantas.
“Daripada 72 peratus yang memilih TIDAK kepada 88 peratus hanya dalam masa beberapa jam!
Sumber Facebook reignitedemocracyaustralia
“Sila ambil perhatian Scott Morrison (Perdana Menteri Australia) dan Qantas,” menurut satu muat naik Reignite Democracy Australia pada Isnin.
Di ruang komen muat naik laman Reignite Democracy Australia, golongan itu juga meninggalkan komen yang menentang vaksin koronavirus.
Sumber Facebook reignitedemocracyaustralia
“Mengapa anda mahu mendapatkan vaksin kepada virus yang mempunyai kadar kelangsungan hidup setinggi 99 peratus?
“Saya tidak akan menggunakan perkhidmatan Qantas lagi melainkan Ketua Pegawai Eksekutifnya mengubah pendirian berhubung polisi ‘tiada suntikan vaksin, tidak boleh terbang’ (no vaccine, no fly),” kata beberapa netizen.
Ketua Pegawai Eksekutif Qantas Alan Joyce pada Isnin mengumumkan syarikat penerbangan itu akan melaksanakan peraturan tersebut setelah vaksin COVID-19 diluluskan.
“Kami sedang melihat kemungkinan untuk mengubah terma dan syarat buat penerbangan antarabangsa berkaitan pengambilan suntikan vaksin sebelum dibenarkan menaiki pesawat,” kata Joyce.
Joyce juga meramalkan peraturan tersebut akan menjadi amalan standard di serata dunia memandangkan kerajaan dan syarikat penerbangan sedang mempertimbangkan penggunaan pasport vaksin elektronik.
#COVID-19 #Qantas #anti-vaksin #anti-vaxx #wajib ambil vaksin #no vaccine no fly #syarikat penerbangan #koronavirus #pesawat #Perdana Menteri #Scott Morrison
;