COVID-19: AS bakal edar 1 bilion kit ujian pantas secara percuma

Astro Awani
Januari 13, 2022 07:32 MYT
Jelas Biden, kesemua kit ujian dan pelitup muka itu akan diedarkan melalui pautan web persekutuan yang akan dilancarkan minggu hadapan. -Foto AP
WASHINGTON DC: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan kerajaannya akan menggandakan pemberian kit ujian pantas COVID-19 secara percuma sebanyak 1 billion unit.
Jelas Biden, ia akan diedarkan kepada rakyat AS berserta pelitup muka N95 sebagai perlindungan bagi membantu negara itu mengekang peningkatan kes yang lebih tinggi.
Kesemua kit ujian dan pelitup muka itu akan diedarkan melalui pautan web persekutuan yang akan dilancarkan minggu hadapan.
"Kita berada di landasan yang tepat. Kita akan lancarkan laman web minggu hadapan untuk kita tawarkan kit ujian dan hantarnya ke rumah.
"Sejumlah 500 juta kit kini dalam proses untuk dihantar secara percuma, saya sudah arahkan pasukan saya untuk menambah setengah bilion lagi, tambahan 500 juta kit ujian untuk diedarkan secara percuma.
"Jadi jumlah keseluruhan 1 bilion untuk memenuhi permintaan," katanya.
Biden turut mengumumkan bahawa mulai minggu hadapan, 1,000 kakitangan perubatan tentera akan mula ditempatkan di seluruh negara bagi membantu kemudahan perubatan yang semakin lumpuh.
Ia berikutan ramai antara petugas kesihatan turut dijangkiti serta berada dalam kuarantin.
Katanya lonjakan kes ketika Tahun Baharu adalah satu perkara yang mendukacitakan dan terus berharap agar rakyatnya terus mengambil dos vaksin.
#COVID-19 #kit ujian pantas #pelitup muka #Joe Biden
;