COVID-19: Bagaimana China berjaya turunkan jumlah jangkitan secara mendadak

Afiq Ariffin
Mac 15, 2020 10:43 MYT
Berdasarkan statistik, angka jangkitan COVID-19 di China kini jauh lebih kecil berbanding peningkatan dalam tempoh 24 jam di Britain dengan 208 kes baharu dalam tempoh 24 jam. -Gambar fail
INISIATIF kerajaan China dalam membendung penularan wabak COVID-19 sehingga angka jangkitan virus berkenaan di negara itu berhasil ‘dikawal’ boleh dianggap suatu kejayaan.
Walaupun wabak itu masih mencatatkan peningkatan di seluruh dunia, China sebaliknya berjaya mengawal penularan itu.
Setakat ini, China merekodkan sejumlah 81, 029 kes, dengan peningkatan sebanyak 22 kes sejak Sabtu.
Berdasarkan statistik, ia jauh lebih kecil berbanding peningkatan dalam tempoh 24 jam di Britain dengan 208 kes baharu dalam tempoh 24 jam.
Penutupan seluruh bandar
China telah melakukan kerja-kerja pembendungan terbaik dengan mengisytiharkan darurat ketat pada 23 Januari lalu di Wuhan serta 15 bandar lain di wilayah Hubei bagi mengekang wabak itu daripada terus menular.
Seramai 56 juta penduduk terkesan dengan pengisytiharan itu di mana semua pintu pengangkutan awam (bas, keretapi, penerbangan dan feri), premis perniagaan, kilang-kilang, pejabat serta sekolah turut ditutup rapat.
Malah, petugas kesihatan turut dikerahkan dari seluruh China hanya untuk membantu merawat pesakit yang dijangkiti virus pembunuh itu.
Pembinaan dua hospital
Dua hospital juga dibina hanya dalam masa dua minggu bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat setiap hari.
BACA: Hospital khas koronavirus siap dalam 6 hari, mula beroperasi esok
Bukan sahaja langkah pembendungan dilakukan di negara itu, malah usaha pengawalan dan pengawasan turut dipertingkat dari semasa ke semasa.
Makluman di media sosial
Pihak kerajaan turut menggunakan platform media sosial serta aplikasi mudah alih bagi mengawasi pergerakan di kawasan yang dikategorikan mengikut warna iaitu hijau, kuning dan merah.
BACA: Koronavirus: Warga emas terkejut diherdik dron kerana tidak pakai topeng muka
Proses nyahkuman yang kerap
Setiap jalan dan bangunan turut dibersihkan dengan penyemburan cecair pembasmi kuman yang dilakukan dengan kekerapan yang maksimum.
Penggunaan cahaya UV
Firma pengangkutan awam Yanggao mengubah kebuk pembersihan bas henti-hentinya kepada kebuk cahaya UV untuk tujuan nyahkuman pada rangkaian basnya.
Proses yang sebelum ini mengambil masa 40 minit ditambah baik hingga hanya memerlukan tempoh 5 minit bagi setiap bas.
Topeng muka diwajibkan
Semua rakyat turut diwajibkan memakai topeng muka jika menaiki teksi atau ke pasar raya untuk mendapatkan bekalan makanan dengan kerja-kerja bacaan suhu turut menjadi kewajipan semasa memasuki sesebuah bangunan.
Pergerakan dipantau
Selain itu, seluruh kejiranan turut dikawal oleh penguat kuasa yang melakukan rondaan serta pemeriksaan keluar masuk terhadap pelawat yang berkunjung ke sesebuah kawasan perumahan.
Penguatkuasaan ketat
China juga turut memperketat sistem pengkuatkuasaan tentera dan polisnya dengan menahan serta mengurung individu yang melanggar kesalahan di kala penularan wabak tersebut.
Pesanan khidmat masyarakat
Bagi langkah pencegahan, pesanan khidmat masyarakat juga sering disebar luas kepada orang awam dengan mengalakkan mereka mencuci tangan dengan lebih kerap dan mengurangkan perjalanan agar tidak membebankan penguat kuasa kesihatan.
BACA: COVID-19: 'Mohon telus, beri penjelasan!' - China dakwa tentera AS bawa virus ke Wuhan
BACA: Saintis UK tawar RM38,000 kepada sesiapa yang rela dijangkiti koronavirus
#cara #China #COVID-19 #kesihatan #koronavirus #Langkah #media sosial #pembendungan #pencegahan #penerbangan #penularan #penyakit #rakyat #tentera #wabak
;