COVID-19: Bagaimana Chile jadi juara vaksinasi dunia?
Agensi
Februari 22, 2021 15:37 MYT
Februari 22, 2021 15:37 MYT
TATKALA wabak COVID-19 membadai dunia tahun lalu, Chile dan Peru mencapai kadar jangkitan positif per kapita tertinggi di dunia untuk tujuh hari berturut-turut pada bulan Mei.
Chile dengan pantas menghampiri angka 80,000 jangkitan dan lebih daripada 800 daripadanya telah meninggal dunia pada ketika itu.
Sembilan bulan kemudian, Chile kini berada dalam situasi yang berbeza sama sekali.
Walaupun beberapa negara Amerika Latin seperti Nicaragua belum lagi menerima bekalan vaksinasi, negara Andean yang mempunyai populasi 19 juta orang itu telah memberikan lebih sejuta suntikan vaksin 9 Februari.
Bagaimana Chile dapat mengubah keadaan COVID-19 dengan begitu dramatik?
Pertama, kerajaan Chile sedari awal lagi telah bertekad untuk tidak akan melepaskan sebarang usaha untuk mendapatkkan vaksin, apa sahaja jenisnya.
Susulan itu, kerajaan negara itu telah mengatur pembelian 35.7 juta dos vaksin yang bermakna ia akan memiliki kemampuan untuk memvaksinasi lebih daripada 90 peratus daripada populasinya.
Pihak berkuasa Chile juga sibuk menukarkan ruang awam menjadi pusat vaksinasi.
Selain sekolah dan bangunan kerajaan, pihak berkuasa kesihatan telah membuka tapak vaksinasi di seluruh negara di tempat-tempat seperti pusat beli-belah dan stadium bola sepak.
Sementara negara-negara lain bergelut untuk membuat keputusan siapa yang harus mendapatkan suntikan vaksin terlebih dahulu selepas petugas barisan hadapan, kerajaan Chile tampil dengan jadual vaksinasi yang dilaksanakan dengan teliti dan rapi.
Dalam pada itu, kerajaan juga mengeluarkan mesej berbentuk perpaduan berkenaan penjarakan sosial dan penggunaan pelitup muka.
Selepas petugas kesihatan menerima suntikan vaksin, tumpuan program vaksinasi tertumpu pula kepada warga tua.
Para guru, ahli farmasi dan pengawai polis akan layak menerima suntikan vaksin itu pada Isnin.
Dengan populasi kurang daripada 19 juta, bilangan penduduk Chile yang agak kecil merupakan satu kelebihan buat negara itu.
Ia bermaksud setiap vaksin diagihkan dengan tujuan mencapai matlamat imuniti kawanan, terutama apabila dibandingkan dengan populasi yang lebih besar seperti Brazil, China atau Kesatuan Eropah.
Matlamat Kementerian Kesihatannya adalah untuk memvaksinasi lima juta orang pada akhir bulan Mac dan empat daripada lima rakyat Chile sebelum pertengahan pertama tahun ini berakhir.
#China
#COVID-19
#vaksin
#program vaksinasi
#pusat vaksinasi
#penjarakan sosial
#pelitup muka
#Kesatuan Eropah
#petugas kesihatan
#juara vaksinasi