COVID-19: AZ mohon kelulusan FDA untuk rawatan cegah virus

Astro Awani
Oktober 5, 2021 07:55 MYT
Rawatan antibodi itu dikenali sebagai AZD7442 dan mengandungi antibodi buatan makmal yang direka untuk berada di dalam tubuh badan selama beberapa bulan. - Foto REUTERS/Rachel Wisniewski
SYARIKAT farmaseutikal AstraZeneca memohon kelulusan bersyarat daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat bagi penggunaan rawatan antibodi bagi melawan COVID-19.
Ini merupakan rawatan perlindungan pertama selain daripada vaksin untuk digunakan bagi melawan COVID-19 dan dianggap satu langkah besar dalam perjuangan global menentang virus itu.
Rawatan antibodi itu dikenali sebagai AZD7442 dan mengandungi antibodi buatan makmal yang direka untuk berada di dalam tubuh badan selama beberapa bulan bagi menahan virus sekiranya terjadi jangkitan.
Ia berbeza dengan vaksin yang bergantung kepada sistem kekebalan tubuh utuh untuk mengembangkan antibodi dan sel-sel yang melawan jangkitan.
Rawatan AstraZeneca itu dirancang untuk bertahan selama beberapa bulan hingga setahun untuk melindungi individu yang tidak mempunyai tindak balas imunisasi yang cukup kuat terhadap vaksin COVID-19.
AstraZeneca berkata, ubat itu diberikan dalam dua suntikan berturut yang dapat menjadi tambahan kepada vaksinasi bagi meningkatkan perlindungan.
Pembuat ubat itu berkata, pihaknya memberikan data ujian klinikal terakhir kepada FDA yang menunjukkan ia dapat mengurangkan risiko individi mengalami gejala COVID-19 sebanyak 77 peratus.
Data ujian klinikal itu diterbitkan pada bulan Ogos.
AstraZeneca turut menyatakan, perbincangan mengenai bekalan ubat AZD7442 sedang dilaksanakan dengan Amerika Syarikat dan kerajaan lain.
#COVID-19 #AstraZeneca #rawatan antibodi #AZD7442
;