COVID-19: Austria kenakan sekatan terhadap individu enggan vaksin
Astro Awani
November 15, 2021 08:13 MYT
November 15, 2021 08:13 MYT
AUSTRIA mengenakan sekatan terhadap individu yang tidak mendapat vaksin COVID-19 bermula hari ini.
Arahan itu sebagai langkah kerajaan menangani lonjakan kes baharu dan tekanan yang meningkat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Eropah menjadi pusat pandemik COVID-19 sekali lagi, dan ini mendorong beberapa kerajaan untuk mempertimbangkan mengenakan semula sekatan.
Austria antara negara di benua itu yang merekodkan kadar jangkitan tertinggi, dengan 815 kes seminggu bagi setiap 100,000 orang.
Ia adalah negara Eropah pertama yang mengembalikan sekatan pada pergerakan harian seperti yang dikenakan semasa penutupan negara sebelum vaksin dilancarkan, walaupun kali ini ia hanya menjejaskan sebahagian kecil penduduk.
Canselor Alexander Schallenberg berkata, pihaknya tidak mengambil mudah langkah tersebut tetapi ia perlu dilakukan.
Langkah baharu itu menggariskan mereka yang tidak divaksinasi hanya boleh meninggalkan rumah mereka atas beberapa sebab yang terhad seperti pergi bekerja atau membeli-belah untuk keperluan penting.
Kira-kira 65 peratus penduduk Austria telah diberi vaksin sepenuhnya.
Bagaimanapun ia adalah salah satu kadar terendah di Eropah barat.
Langkah-langkah pada Isnin adalah SOP lanjutan yang melarang mereka yang tidak divaksin ke tempat-tempat termasuk restoran, hotel, teater dan lif ski.