COVID-19: Australia Selatan laksana perintah berkurung enam hari
Agensi
November 18, 2020 23:29 MYT
November 18, 2020 23:29 MYT
ADELAIDE: Australia Selatan melaksanakan perintah berkurung selama enam hari bermula tengah malam Rabu bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Berikutan itu, semua sekolah, universiti, kilang dan restoran diarahkan tutup bermula Khamis dan hanya seorang individu daripada setiap isi rumah dibenarkan keluar bagi tujuan tertentu sahaja.
Semua majlis perkahwinan dan pengebumian serta aktiviti sukan di luar rumah juga dilarang selain pemakaian pelitup muka di tempat awam juga diwajibkan.
Langkah tersebut diambil susulan berlakunya peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak.
Ketua Menteri Australia Selatan, Steven Marshall, berkata perintah berkurung itu akan berfungsi sebagai pemutus rantaian pandemik itu dan mampu mengurangkan risiko penularan.
"Kami mempunyai peluang untuk menghentikan penularan penyakit ini dan untuk menghapuskan kluster ini. Kami perlu bergerak dengan sangat pantas.
"Kami memerlukan peluang untuk mengenal pasti dan mengasingkan kontak rapat supaya mereka tidak menjangkiti orang lain.
"Penghentian aktiviti komuniti secara sementara mampu mengurangkan risiko penyebaran virus," kata Marshall.
Pihak berkuasa tempatan juga merancang sekatan selama lapan hari berikutan pelaksanaan perintah berkurung itu.
#Australia Selatan
#Adelaide
#COVID-19
#perintah berkurung
#sekatan
#kes positif
#pekerja hotel
#pusat kuarantin
#Ketua Menteri Australia Selatan
#Steve Marshall
#wabak
#pandemik