COVID-19: Australia pula umum vaksin selamat dan berkesan
Afiezy Azaman
November 13, 2020 10:27 MYT
November 13, 2020 10:27 MYT
KUALA LUMPUR: Ujian awal terhadap vaksin COVID-19 yang berpotensi dibangunkan Universiti Australia dan CSL Ltd didapati selamat dan menghasilkan tindak balas antibodi, kata Menteri Kesihatan Australia, Greg Hunt, pada Jumaat.
Kata Hunt, walaupun sedikit di belakang calon lain, vaksin dikembangkan University Queensland dan CSL kini akan memulakan tahap terakhir ujian.
"Vaksin itu membuktikan ia selamat melalui ujian klinikal fasa satu dan terbukti menghasilkan tindak balas antibodi positif.
"Vaksin itu melakukan tugasnya. Terutama kepada golongan tua dan itu sangat penting memandangkan golongan paling berisiko peringkat global ialah warga tua," kata Hunt memetik laporan Reuters.
Sekiranya ujian fasa terakhir lulus, Hunt berkata ia akan siap dan diedarkan pada suku ketiga tahun 2021.
Australia telah bersetuju untuk membeli 51 juta dos dari Universiti Queensland dalam masa yang sama, negara itu juga akan membeli vaksin AstraZeneca dibangunkan Oxford sekiranya lulus ujian peringkat terakhir.
Syarikat farmaseutikal berlumba-lumba membangunkan rawatan berkesan untuk penyakit ini ditengah peningkatan kes COVID-19 yang telah membunuh 1.29 juta mangsa di seluruh dunia dan mengakibatkan kerosakan ekonomi.
Beberapa calon termasuk yang dihasilkan Pfizer Inc dan AstraZeneca dijangka akan segera mengumumkan keputusan ujian peringkat terakhir.
Pfizer pada awal minggu ini berkata, vaksin COVID-19 yang dibangunkan syarikat itu bersama BioNTech didapati mempunyai 90 peratus keberkesanan berdasarkan percubaan awal.
Begitu juga data penghasilan vaksin COVID-19 yang sedang dibangunkan kumpulan penyelidik dari Universiti Oxford bersama syarikat gergasi farmasi, AstraZeneca mungkin tersedia dalam beberapa minggu lagi.
Tidak ketinggalan vaksin Sputnik V yang dibangunkan di Rusia yang mana melaporkan keberkesanannya mencapai tahap 92 peratus.
Sementara itu, tiga vaksin dibangunkan di China juga telah memasuki ujian fasa ketiga ketika ini.
Secara keseluruhan, lebih 150 vaksin COVID-19 sedang dibangunkan di seluruh dunia dengan beberapa menunjukkan potensi yang baik.
#China
#Australia
#Rusia
#COVID-19
#Universiti Australia
#Greg Hunt
#University Queensland
#vaksin
#AstraZeneca
#Oxford
#Pfizer Inc
#BioNTech
#Sputnik V