COVID-19: Australia pertahan langkah sekatan ke atas pelancong China
Astro Awani
Januari 2, 2023 11:43 MYT
Januari 2, 2023 11:43 MYT
AUSTRALIA menyifatkan peraturan mewajibkan pelancong dari China menunjukkan ujian negatif COVID-19 mulai 5 Januari ini sebagai langkah sederhana.
Menteri Kesihatannya Mark Butler berkata, prosedur operasi standard (SOP) baharu itu sejajar dengan langkah yang diambil oleh negara-negara di seluruh Amerika Utara, Eropah serta Asia.
Jelas beliau lagi, langkah berkenaan diambil di tengah-tengah kebimbangan mengenai kekurangan data mengenai jangkitan di China dan kebimbangan varian baharu mungkin merebak.
"Kami fikir ia adalah keputusan yang sederhana dan seimbang, sebagai tambahan kepada pelbagai langkah yang akan kami ambil.
"Contohnya, saringan sisa kumbahan pesawat yang tiba dari China, kami akan pastikan kami dapat maklumat itu, yang menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), agak sukar diperolehi buat masa ini," katanya.
Butler menambah, terdapat kebimbangan mengenai kekurangan perkongsian penjujukan genom oleh Beijing di peringkat global.
Pada Ahad, kerajaan Australia mengambil keputusan memohon pelawat dari China mengemukakan ujian negatif yang diambil dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas dan keperluan itu akan dikenakan kepada pelawat dari Hong Kong dan Macau.
Selain Australia, langkah sama turut diambil oleh beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS), Kanada, United Kingdom (UK), India, serta Jepun dalam mengenakan peraturan yang lebih ketat terhadap pelancong China.
China akan memansuhkan syarat kuarantin wajib bagi ketibaan luar negara mulai 8 Januari ini selepas hampir tiga tahun kerajaan mengenakan sekatan ketat sempadan bagi membendung COVID-19.
#Sekatan pelancong China
#Kuarantin pelancong China
#Sekatan Malaysia terhadap China
#COVID-19 dunia