COVID-19: Australia beri vaksin kepada kanak-kanak tahun depan

Astro Awani
November 14, 2021 07:24 MYT
Komander Pasukan Petugas COVID-19 Australia memberitahu, negara itu telah mendapatkan bekalan yang diperlukan. - Foto fail/REUTERS
MELBOURNE: Australia akan memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun bermula Januari tahun depan.
Menurut Menteri Kesihatan, Greg Hunt, pengawal selia perubatan masih menyemak data kesihatan dan keselamatan untuk vaksinasi yang akan diberikan untuk kanak-kanak berumur antara 5 dan 11 tahun.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat bulan ini mengesyorkan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kegunaan meluas dalam kumpulan umur 5 hingga 11 tahun, selepas ia dibenarkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA).
Komander Pasukan Petugas COVID-19 Australia memberitahu, negara itu telah mendapatkan bekalan yang diperlukan.
Pada Jumaat, Australia melepasi 90 peratus suntikan dos tunggal untuk mereka yang berumur 16 tahun ke atas, dengan 83 peratus telah melengkapkan dua dos.
Negara itu juga telah memberi vaksin kepada 57.7 peratus remaja berumur antara 12 dan 15 tahun.
Kadar vaksinasi yang tinggi di Australia adalah kunci kepada keputusannya untuk membuka semula sebahagian sempadan antarabangsa bulan ini buat pertama kali sejak permulaan wabak itu.
#COVID-19 #vaksin #Kanak-kanak #Pfizer-BioNTech
;