COVID-19: ASEAN serah bantuan peralatan perubatan kepada Myanmar

Bernama
September 17, 2021 11:44 MYT
Pesakit dijangkiti COVID-19 menerima rawatan di Hospital Cikha, Myanmar. - Foto REUTERS
KUALA LUMPUR: ASEAN telah menyerahkan bantuan peralatan perubatan bernilai US$1.1 juta untuk diagihkan Persatuan Palang Merah Myanmar (MRCS), bagi membantu Myanmar memerangi penularan COVID-19.
Penyerahan bantuan itu adalah yang pertama di bawah misi Bantuan Kemanusiaan ASEAN untuk Myanmar, susulan kesepakatan yang dicapai pada 18 Ogos, menurut Sekretariat ASEAN dalam satu kenyataan di laman webnya www.asean.org.
Bantuan itu hasil sumbangan kerajaan Indonesia, Filipina, Thailand, Turki, dan Temasek Foundation International, katanya.
Dalam ucapannya, Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi berkata inisiatif itu menunjukkan solidariti yang melambangkan semangat 'One ASEAN, One Response' sekali gus mencerminkan Komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada negara dan pihak yang menyumbang serta yakin bantuan itu dapat meringankan penderitaan rakyat Myanmar yang sedang menghadapi saat mencabar.
Lim menyeru negara-negara lain turut serta dalam usaha kemanusiaan Fasa Satu ini untuk membolehkan ia dilanjutkan kepada Fasa Dua.
Bantuan seterusnya untuk Fasa Satu dijangka disumbangkan Brunei, Kemboja, Singapura dan Vietnam, bersama negara dan pertubuhan lain, menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Duta Khas ASEAN ke Myanmar, Datuk Erywan Yusof berkata pandemik COVID-19 adalah "musuh bersama" yang bukan hanya menjejaskan struktur sosioekonomi malah kehidupan manusia .
Beliau menggesa masyarakat antarabangsa terus menyokong dan melengkapkan usaha ASEAN kerana pemberian bantuan kemanusiaan adalah cerminan sebenar "ASEAN Way" dan menunjukkan komitmen untuk membantu keluarga ASEAN ketika mereka memerlukan.
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA) serta wakil-wakil negara anggota ASEAN dan negara penderma telah menyertai majlis penyerahan sumbangan itu yang diadakan secara maya dari Sekretariat ASEAN di Jakarta pada Rabu.
-- BERNAMA
#COVID-19 #ASEAN #bantuan peralatan perubatan #Myanmar
;