COVID-19: Arab Saudi buka semula sempadan mulai 31 Mac

Agensi
Januari 9, 2021 12:31 MYT
Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi membenarkan rakyat negara itu melakukan perjalanan dari dalam dan luar negara. -Gambar fail/REUTERS
JEDDAH: Kerajaan Arab Saudi dilaporkan akan membuka semula sempadan negaranya termasuk pelabuhan darat, laut dan ruang udara mulai 31 Mac ini.
Memetik laporan portal Saudi Press Agency, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi membenarkan rakyat negara itu melakukan perjalanan dari dalam dan luar negara.
Kementerian itu turut memaklumkan semua larangan penerbangan antarabangsa akan turut ditarik balik pada tarikh yang sama.
Sumber rasmi kementerian berkenaan turut memaklumkan bahawa keputusan dibuat susulan penurunan kes jangkitan COVID-19 di negara itu, meskipun beberapa negara berdepan 'gelombang kedua' pandemik.
Dakwa sumber itu lagi, kerajaan Arab Saudi juga sedang memuktamadkan penghantaran bekalan vaksin sebagai imunisasi kepada kumpulan rentan.
Sumber itu menambah pertimbangan berhati-hati untuk menamatkan larangan penerbangan antarabangsa, disifatkan sebagai petanda besar bahawa Arab Saudi telah mengkaji sebaiknya langkah itu sebelum membuat sebarang keputusan.
Terdahulu, pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Kuwait memaklumkan kerajaan Arab Saudi akan membuka semula sempadan termasuk ruang udara kepada Qatar.
Pengumuman mengejutkan itu dilakukan pada persidangan tahunan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang berlangsung di Al-Ula, Arab Saudi.
#Arab Saudi buka sempadan #vaksin COVID-19 #pelabuhan darat #ruang udara #penerbangan antarabangsa #penurunan jumlah kes positif #pandemik #vaksin
;