COVID-19: Angka jangkitan kini melebihi 1.5 juta di seluruh dunia

Agensi
April 9, 2020 08:00 MYT
Virus itu telah merebak ke sekurang-kurangnya 184 negara dan wilayah selepas pertama kali ia dikesan di bandar Wuhan, China pada Disember tahun lalu.- Gambar REUTERS
JANGKITAN COVID-19 di seluruh dunia kini melebihi angka 1.5 juta orang.
Kajian Johns Hopkins mendapati bahawa 1,500,830 orang telah dijangkiti virus itu sejak ia muncul di China empat bulan lalu, termasuk 87,705 orang yang meninggal dunia dan 317,855 individu yang telah pulih sepenuhnya.
Amerika Syarikat (AS) tetap menjadi negara dengan jumlah jangkitan paling tinggi dengan lebih daripada 423,000 orang, tetapi Itali mencatat negara dengan angka kematian tertinggi sebanyak 17,669.
Kajian turut menyatakan virus itu telah merebak ke sekurang-kurangnya 184 negara dan wilayah selepas pertama kali ia dikesan di bandar Wuhan, China pada Disember tahun lalu.
Ia menyerang sistem pernafasan, dan boleh membawa maut.
Kebanyakan mangsa yang dijangkiti akan menunjukkan simptom yang sederhana tetapi ia boleh membawa maut kepada orang tua dan mereka yang mempunyai penyakit sedia ada seperti hipertensi, diabetes, sakit jantung dan asma.
Beberapa usaha sedang dilakukan untuk pembangunan vaksin tetapi kebanyakan pakar percaya bahawa ia hanya akan diperoleh sekurang-kurangnya dalam tempoh satu tahun ke 18 bulan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Rabu menyifatkan jangkitan koronavirus ini sebagai salah satu cabaran paling berbahaya yang dihadapi masyarakat antarabangsa.
"Sekarang adalah masa untuk masyarakat antarabangsa bersama bekerja dan bersatu menghentikan virus ini dan kesannya yang menghancurkan," kata Guterres.
COVID-19 dianggap sebagai krisis paling dahsyat ke atas keperadaban manusia yang memberi kesan terhadap kesihatan dan sosial yang serius.
#Antonio Guterres #AS #China #COVID-19 #diabetes #hipertensi #Itali #PBB #vaksin
;