COVID-19: Angka jangkitan di Myanmar lumpuhkan sistem kesihatan

Astro Awani
Ogos 8, 2021 09:20 MYT
Bekalan oksigen perubatan juga dilaporkan hampir habis, dan junta tentera mengawal pembelian peribadi tangki oksigen di kebanyakan tempat. - Foto Facebook/Yangon General Hospital
YANGON: Gelombang ketiga jangkitan COVID-19 di Myanmar telah melumpuhkan sistem kesihatan negara itu.
Manakala tempat membakar mayat semakin sesak dengan jumlah kematian yang semakin meningkat.
Julai merupakan bulan terburuk bagi Myanmar apabila mencatatkan 50 peratus daripada 11,500 kematian adalah berkaitan dengan COVID-19.
Lebih memburukkan keadaan, apabila rakyat dan aktivis hak asasi manusia mendakwa junta tentera Myanmar menggunakan alasan COVID-19 untuk terus memegang kuasa.
Bekalan oksigen perubatan juga dilaporkan hampir habis, dan junta tentera mengawal pembelian peribadi tangki oksigen di kebanyakan tempat.
Dakwaan secara meluas menyebut stok oksigen hanya diberikan kepada penyokong junta dan hospital yang dikendalikan oleh tentera.
Pada waktu sama, petugas perubatan yang menentang pemerintah menjadi sasaran junta tentera dan dipantau oleh Majlis Pentadbiran Negeri.
Myanmar mencatatkan 300,000 jangkitan COVID-19, lebih banyak dari Indonesia dan Malaysia bagi angka kematian per kapita di Asia Tenggara.
Angka yang dicatatkan di Myanmar dianggap jumlah yang drastik kerana kurangnya saringan dan pelaporan kes.
#COVID-19 #Myanmar #kematian #meningkat #Junta #sistem kesihatan #bekalan oksigen
;