COVID-19: Anggota tentera ditugaskan bantu hospital di Wisconsin
Astro Awani
Januari 14, 2022 10:25 MYT
Januari 14, 2022 10:25 MYT
WISCONSIN: Gabenor Wisconsin Tony Evers mengumumkan pada Khamis bahawa tentera kebangsaan negeri itu akan membantu mengisi kekurangan kakitangan di hospital dan di rumah penjagaan dalam beberapa minggu akan datang disebabkan lonjakan pesakit COVID-19.
Ketika ini kata Evers, pasukan tentera sedang dilatih sebagai pembantu jururawat bertauliah.
Kira-kira 50 anggota tentera telah dikerahkan ke enam rumah penjagaan sepanjang minggu lalu.
Seramai 80 anggota lain pula memulakan latihan minggu ini sebelum dihantar bertugas pada penghujung Januari.
Manakala 80 anggota lagi akan memulakan latihan pada awal Februari dan ditempatkan pada akhir bulan berkenaan.
Lonjakan kes COVID-19 sejak beberapa minggu lalu menyebabkan hospital berhadapan dengan kekurangan kakitangan di tengah-tengah kebanjiran pesakit.
Purata kes harian tujuh hari sehingga Khamis adalah berjumlah 9,915 kes iaitu hampir dua kali ganda daripada angka yang dicatatkan pada dua minggu lalu.
Menurut pentadbiran Evers, lonjakan itu telah meletakkan rekod tertinggi sebanyak 488 sedang dirawat di unit rawatan rapi.
Hampir 2,278 telah dimasukkan ke hospital setakat Khamis, iaitu peningkatan sebanyak 276 pesakit sepanjang minggu lalu.