COVID-19: Anggota keselamatan Rodrigo Duterte disuntik vaksin China

Saraya Mia
Disember 28, 2020 06:23 MYT
Hampir semua anggota keselamatan, termasuk pasukan khas yang ditugaskan untuk mengawasi Duterte telah diberikan suntikan vaksin buatan China, Sinopharm. - Gambar REUTERS
MANILA: Anggota pasukan keselamatan serta beberapa menteri kabinet Filipina sudah diberikan suntikan vaksin COVID-19 walaupun belum mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Perubatan (FDA) negara itu, lapor pihak berkuasa pada Isnin.
Menurut Presiden Rodrigo Duterte dalam satu persidangan yang siarkan secara langsung pada Sabtu, hampir semua anggota keselamatan, termasuk pasukan khas yang ditugaskan untuk mengawasinya telah diberikan suntikan vaksin buatan China, Sinopharm.
Bagaimanapun Duterte tidak diberikan suntikan vaksin tersebut.
Dalam pada itu, menteri kesihatan berkata dalam satu kenyataan bahawa vaksin harus dinilai pakar terdahulu dan hanya vaksin yang telah diluluskan dibenar untuk diedarkan kepada umum.
Setakat ini, masih tiada vaksin untuk melawan jangkitan COVID-19 yang telah diluluskan untuk kegunaanan awam di negara itu dan mana-mana pengedaran vaksin adalah salah di sisi undang-undang.
Filipina bercadang untuk mendapatkan 60 juta dos vaksin daripada firma biotek AstraZeneca, Pfizer-BioNTech dan Sinopharm untuk menyuntik 110 juta rakyatnya.
#pasukan keselamatan #Filipina #vaksin #COVID-19 #tidak lulus #Rodrigo Duterte #presiden #pasukan khas #Sinopharm #AstraZeneca
;