COVID-19: Amerika Selatan kini pusat penularan baharu pandemik
Astro Awani
Mei 23, 2020 06:23 MYT
Mei 23, 2020 06:23 MYT
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran Amerika Selatan adalah pusat penularan tinggi baharu untuk COVID-19.
Menurut Pengarah Eksekutifnya, Dr Michael Ryan, ketika ini wujud peningkatan kes dengan mendadak di banyak negara di benua Amerika Selatan.
"Dari satu segi, Amerika Selatan telah menjadi pusat baharu penularan penyakit itu.
"Sudah tentu banyak negara berkenaan dibelenggu kebimbangan, namun Brazil jelas yang paling terkesan ketika ini," katanya.
Beliau berkata, kebanyakan kes di Brazil berada di Sao Paulo yang berpenduduk padat, namun kadar jangkitan tertinggi dicatatkan di negeri Amazonas dengan kira-kira 490 orang telah dijangkiti bagi setiap 100,000 penduduk.
Brazil kini berada di tangga ketiga negara paling teruk dilanda COVID-19 dunia dengan lebih 330,000 kes positif dan lebih 21,000 kematian.
Negara lain yang turut mencatatkan angka kes positif yang tinggi adalah Peru dengan lebih 110,000 kes positif dan lebih 3,000 kematian.
#Amerika Selatan
#Brazil
#COVID-19
#koronavirus
#Michael Ryan
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#Sao Paolo
#WHO