COVID-19: Amerika dipengaruhi berita palsu keupayaan vaksin
Astro Awani
Julai 23, 2021 07:27 MYT
Julai 23, 2021 07:27 MYT
DI sebalik pelbagai bukti dan kajian bahawa vaksin akan menawarkan perlindungan kuat ke atas antibodi manusia, program vaksinasi di Amerika Syarikat menjadi perlahan apabila ramai yang lebih mempercayai berita palsu.
Sebilangan besar warga Amerika yang tidak mengambil vaksin mengakui masih ragu-ragu dengan keberkesanan vaksin terhadap varian Delta.
Dalam kalangan orang dewasa Amerika yang belum menerima vaksin, 35 peratus daripada mereka berkata tidak akan mengambil vaksin manakala 45 peratus lagi tidak pasti.
Itu dapatan dari satu tinjauan pendapat yang dilakukan pusat penyelidikan hal ehwal awam NORC.
Dapatan itu juga mendapati hanya 3 peratus yang mahu mengambil vaksin manakala 16 peratus dalam kategori mungkin mengambilnya.
Setakat ini sebanyak 64 peratus dari jumlah yang tidak divaksin tidak yakin suntikan vaksin itu mampu melawan varian-varian baru termasuk varian Delta.
Antara lain, tinjauan itu menunjukkan bahawa majoriti yang belum divaksin mempunyai keraguan yang signifikan bahawa vaksin akan berfungsi melawan dan menentang varian secara umum.
Setakat ini, 56.4 peratus dari populasi di Amerika, termasuk kanak-kanak, menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, menurut Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Bagaimanapun menurut White House, kadar vaksinasi mula meningkat di beberapa negeri yang ketinggalan dan kes COVID-19 meningkat, termasuk di Arkansas, Florida, Louisiana, Missouri dan Nevada.
#Amerika Syarikat
#suntikan
#berita palsu
#COVID-19
#program vaksinasi
#Kanak-kanak
#White House
#vaksin
#Varian Delta
#tinjauan
#Kajian
#NORC