COVID-19: Ambil pengajaran daripada setiap pandemik - Bekas KP WHO

Astro Awani
Mac 6, 2021 07:48 MYT
Chan gesa pemimpin politik seluruh dunia untuk bekerjasama menghadapi wabak tersebut dan menyokong usaha WHO. -UN
GENEVA: Pengalaman memerangi SARS membantu negara-negara Asia melaksanakan langkah memerangi COVID-19 dengan lebih baik.
Malah pada fasa ini, kerjasama antarabangsa adalah satu-satunya cara untuk memerangi wabak masa depan.
Kenyataan itu dikeluarkan bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Margaret Chan Fung Fu-chun.
"Sekarang, negara-negara di rantau Asia, kita melakukan dengan lebih baik. Ini kerana kita telah mengalami SARS pada tahun 2003.
"Itu adalah pelajaran yang menyakitkan, kita telah belajar daripada pelajaran itu dan mengambil tindakan.
"Jadi orang-orang di negara-negara Asia lebih banyak menerima langkah-langkah kesihatan awam, termasuk memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan juga untuk tidak berkumpul di keramaian.
"Jadi maksud saya, pengalaman itu penting," kata Chan.
Chan gesa pemimpin politik seluruh dunia untuk bekerjasama menghadapi wabak tersebut dan menyokong usaha WHO.
Justeru Chan menuntut kerjasama politik negara-negara untuk menyokong COVAX bagi memastikan pengagihan vaksin secara adil ketika bekalan terhad.
Selepas pandemik, Chan berkata terdapat dua masalah yang perlu dinilai.
Pertama, bagaimana seluruh masyarakat dunia mengambil pengajaran daripada wabak tersebut dan memperkukuh soal keselamatan kesihatan.
Kedua adalah perubahan positif dalam pemerintahan global dengan teras Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang perlu membuat persiapan bermula sekarang.
#politik #pandemik #COVID-19 #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #WHO #pelitup muka #kesihatan #Beijing #Margaret Chan Fung Fu-chun
;