COVID-19: Amaran penularan besar di China jika longgar sekatan seperti AS, Perancis - Kajian

Agensi
November 28, 2021 18:06 MYT
Menurut laoran itu, China tidak mampu menjalankan strategi melonggarkan sekatan hanya bersandarkan hipotesis imuniti kelompok seperti negara Barat. - Gambar fail
BEIJING: China bakal berdepan kes jangkitan COVID-19 sehingga lebih 630,000 kes sehari jika negara itu menarik balik polisi toleransi sifar dengan melonggarkan sekatan perjalanan, menurut kajian pakar matematik di Universiti Peking.
Dalam satu laporan yang diterbitkan dalam CDC Weekly oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, pakar tersebut memberitahu, China tidak boleh melonggarkan sekatan perjalanan tanpa langkah vaksinasi yang lebih cekap atau rawatan khusus.
Menggunakan data dari bulan Ogos dari Amerika Syarikat, Britain, Sepanyol, Perancis dan Israel, pakar matematik itu menilai potensi risiko sekiranya China mengambil langkah taktik kawalan pandemik seperti negara-negara yang dinyatakan.
Menurut laporan kajian itu, kes jangkitan baharu di China boleh mencapai sekurang-kurangnya 637,155 kes sehari jika negara itu menggunakan strategi pandemik AS.
Kes harian boleh mencatatkan 275,793 kes jika China mengambil langkah seperti Britain, dan 454,198 kes jika ia mengikut cara Perancis.
"Jangkaan angka itu menunjukkan kemungkinan sebenar mengenai penularan besar-besaran yang secara tidak langsung memberi tekanan kepada sistem perubatan negara.
"Penemuan kami membawa amaran bahawa, buat masa ini, kita tidak mampu untuk menjalankan strategi melonggarkan sekatan hanya bersandarkan hipotesis imuniti kelompok selepas vaksinasi seperti yang dilakukan negara-negara Barat,” kata laporan itu.
Pakar matematik itu memberi amaran bahawa jangkaan mereka adalah berdasarkan pengiraan aritmetik asas, dan lebih banyak model kajian yang lebih sofistikated mengenai evolusi pandemik akan dijalankan jika sekatan perjalanan ditarik semula.
#China #jangkitan #pandemik #COVID-19
;