COVID-19: Aktiviti perkilangan di China jatuh merudum

Agensi
November 30, 2022 21:57 MYT
China menyaksikan peningkatan kes COVID-19 dalam beberapa minggu kebelakangan ini dengan lebih 37,000 kes dilaporkan pada Selasa lalu - Gambar hiasan/ Getty Images
BEIJING: Angka ukuran utama aktiviti perkilangan China dilaporkan jatuh lagi pada bulan November.
Memetik laporan BBC, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) turun kepada 48 daripada 49.2 pada Oktober lalu.
Penurunan ini berikutan sekatan COVID-19 ketat dan permintaan global yang lemah, yang memberi kesan kepada China selaku kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia.
Kebelakangan ini, China berdepan dengan bantahan besar-besaran terhadap langkah sifar COVID-19 dilaksanakan Presiden Xi Jinping yang menyaksikan bandar-bandar utama dikenakan perintah berkurung.
Ukuran PMI bukan pembuatan China dalam sektor perkhidmatan dan pembinaan jatuh kepada 46.7 berbanding 48.7 pada bulan sebelumnya sekali gus mencatatkan bacaan terendah dalam tempoh tujuh bulan.
Dalam pada itu, sebarang angka di bawah 50 menunjukkan penguncupan berbanding bulan sebelumnya.
Awal bulan ini, kerajaan China memperkenalkan beberapa langkah untuk merangsang ekonomi yang perlahan.
Dalam pada itu, Bank Pusat China menukar catuan rizabnya untuk bank yang memberikan institusi pinjaman lebih banyak wang tunai untuk melanjutkan pinjaman. Ini dilihat sebagai langkah positif untuk membantu sektor hartanah yang bergelut.
Ini selepas China menyaksikan peningkatan kes COVID-19 dalam beberapa minggu kebelakangan ini dengan lebih 37,000 kes dilaporkan pada Selasa lalu iaitu melebihi kemuncak sebelumnya pada April.
Ribuan penduduk di China turun ke jalan menuntut penamatan sekatan ketat sambil menggesa Presiden Xi Jinping supaya berundur - sesuatu yang amat jarang berlaku.
Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China (NHC) Mi Feng memberitahu pemberita bahawa sekatan pergerakan harus 'dikenakan dan dilonggarkan dengan cepat' dan 'langkah kawalan berlebihan harus terus diperbetulkan'.
#perintah berkurung #Xi Jinping #COVID-19 #China
;