COVID-19: Agama dan budaya dorong keraguan vaksin masyarakat minoriti
Astro Awani
Februari 7, 2021 05:31 MYT
Februari 7, 2021 05:31 MYT
LONDON: Walaupun terdapat kemajuan relatif dalam proses pengedaran vaksin, laporan daripada pihak berkuasa kesihatan Britain menunjukkan kebanyakan individu daripada komuniti minoriti masih belum divaksin.
Berdasarkan laporan Royal College General Practitioners, 91 peratus individu yang telah menerima vaksin COVID-19 di Britain adalah berkulit putih, dua peratus berkulit hitam, sementara lima peratus dari latar belakang Asia.
Kepercayaan agama dan budaya dipercayai menjadi pendorong keraguan terhadap vaksin dalam kalangan masyarakat minoriti.
Doktor dari Hospital Royal Shrewsbury, Michael Dawes mendedahkan, ada jururawat enggan menerima vaksin kerana kepercayaan agama.
“Ini sangat mengejutkan saya apabila jururawat akan pergi dan memberitahu orang lain jangan mengambil vaksin.
“Tetapi yang paling menarik perhatian adalah ketika saya berbual dengan salah seorang jururawat dan mengajaknya untuk mendapatkan vaksin, dia berkata - 'Tidak, pastor saya kata jangan.' Ia mengejutkan, membuatkan saya marah dan saya meminta nombor telefon pastor berkenaan kerana ingin bercakap dengannya,” katanya.
Sementara itu, Anggota Parlimen UK, Shabana Mahmood mendakwa, kalangan masyarakat kulit hitam dan berketurunan Asia turut menolak vaksin.
“Apa yang saya dapati daripada doktor dan orang lain di barisan hadapan di kawasan saya, adalah terdapat lebih banyak keraguan vaksin di antara beberapa komuniti etnik minoriti kulit hitam, Asia dan lain-lain.
“Mereka mengesan lebih banyak orang yang mengatakan tidak, mereka tidak mahu vaksin dan mereka bimbang terhadapnya.
“Ssaya telah diberitahu hal itu oleh wakil tempatan di kawasan saya sendiri dan saya tahu bahawa orang lain di Birmingham melakukan perkara yang sama,” ujarnya.