COVID-19: Afrika Selatan mula ujian percubaan vaksin

Astro Awani
Jun 24, 2020 06:51 MYT
Seorang sukarelawan menerima suntikan dari seorang petugas perubatan dalam ujian percubaan vaksin COVID-19 yang pertama kali dikaji di Afrika, di Soweto, Afrika Selatan, 24 Jun, 2020. REUTERS
AFRIKA Selatan memulakan ujian percubaan vaksin untuk COVID-19 dalam kajian pertamanya di Afrika, pada Rabu.
Ujian percubaan vaksin yang dibangunkan Universiti Oxford sedang dijalankan di Afrika Selatan, Britain dan Brazil.
Afrika Selatan merekodkan hampir satu pertiga daripada kes yang disahkan di Afrika, dengan lebih 106,000 kes termasuk 2,100 kematian.
Kata Profesor Vaksinologi di Universiti Wits, Shabir Madhi, negara itu melaporkan jumlah kes kematian harian terbesarnya adalah 111 individu, pada Selasa.
"Apa yang akan berlaku sekarang adalah, lapan peserta ini menjadi sebahagian daripada apa yang dikenali sebagai 'Kumpulan 1', yang merupakan sekumpulan kecil 50 orang di mana kita berusaha memahami dua masalah penting.
“Pertama adalah keselamatan vaksin, terutamanya dari segi kesan sampingan yang biasa. Masalah kedua adalah seberapa baik tubuh badan memberikan tindak balas imun terhadap vaksin,” katanya.
Benua Afrika kini mempunyai 325,000 kes ketika negara mula melonggarkan sekatan susulan tekanan ekonomi dihadapi oleh rakyat yang menyatakan mereka perlu memberi makan kepada keluarga.
Kekurangan ujian saringan COVID-19 dan bekalan perubatan menjadi masalah utama di Afrika yang berkemungkinan boleh menjadi pusat penularan baharu wabak itu.
"Sebaik sahaja kira-kira 60 peratus populasi telah mempunyai imuniti, kami mengharapkan kadar penularan yang efektif menurun ke bawah satu.
“Ini tidak bermaksud virus akan hilang, tetapi 60 peratus populasi itu, terutama orang dewasa, menjadi imun. Kita menjangkakan kadar penularan yang berkesan berada di bawah satu.
"Pada dasarnya, ia bermaksud, virus masih ada, ia masih akan tersebar, tetapi rantaian penularannya terganggu. Itu yang penting," kata Shabir.
Pandemik itu dilaporkan lambat tiba di Afrika namun pusat pengendali dan pencegahan penyakit Afrika menjangkakan peningkatan mendadak dalam jumlah kes dan kematian.
Pemimpin Afrika telah bersuara mengenai benua itu dalam persaingan global mendapatkan bekalan perubatan menghadapi COVID-19.
WHO pada minggu ini mengumumkan semua 54 negara di Afrika kini mempunyai kemampuan makmal untuk melakukan ujian saringan COVID-19.
Sebelum ini pada Februari, hanya dua negara mampu melakukan saringan COVID-19.
#Afrika Selatan #Brazil #Britain #ekonomi #hilang #imun #imuniti #Kajian #kelonggaran #keselamatan #Makmal #percubaan #perubatan #sekatan #tindak balas #ujian saringan #Universiti Oxford #vaksin #WHO
;