COVID-19 adalah 'penipuan' - Trump

Nailah Huda
Februari 29, 2020 12:05 MYT
Presiden Trump mendakwa virus itu adalah satu penipuan oleh Parti Demokrat untuk memburukkan pentadbirannya dan cara mereka tangani wabak tersebut. Foto - REUTERS.
PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump menggambarkan coronavirus COVID-19 sebagai satu “penipuan” oleh Parti Demokrat untuk memburukkan pentadbirannya.
“Demokrat sedang mempolitikkan koronavirus,” kata beliau ketika menghadiri perhimpunan kempen politiknya di South Carolina pada Jumaat.
Kata Trump, sebelum ini beliau menghadapi pendakwaan oleh Parti Demokrat berhubung penyalahgunaan kuasa untuk melobi bantuan Ukraine menjelang pilihan raya Presiden pada November 2020.
Dakwa Trump, tuduhan itu adalah penipuan yang dicipta oleh Demokrat.
“Ini adalah penipuan baharu mereka,” kata beliau berhubung virus itu.
Pada masa sama, Trump dalam satu sidang media pada Khamis menegaskan pendiriannya yang serius dalam menangani wabak COVID-19.
“Kita perlu memandang serius terhadap virus itu. Kami bersedia untuk berdepan dengan situasi paling buruk,” kata Trump.
“Pentadbiran saya telah mengambil langkah paling agresif dalam sejarah moden untuk mengekang penularan penyakit itu di Amerika Syarikat. Kami bersedia. Kami bersedia. Sangat bersedia.”
Jumlah kes positif di Amerika Syarikat mencecah 63, kebanyakannya penumpang kapal pelayaran Diamond Princess yang dibawa pulang dari Jepun.
Reuters melaporkan sumber rapat dengan pentadbiran White House mendedahkan sidang kemuncak AS bersama pemimpin ASEAN di Las Vegas pada Mac depan ditangguh susulan kegusaran mengenai wabak COVID-19.
Sebelum ini, Nikkei Asian Review melaporkan pemimpin dari Vietnam, Laos, Singapura, Kemboja dan Thailand pada awalnya setuju untuk hadir ke persidangan itu.
#Amerika Syarikat #AS memilih #ASEAN #China #coronavirus #COVID-19 #Demokrat #koronavirus #pilihan raya #Presiden Donald Trump
;