COVID-19: 91 kes baharu di Singapura, enam kes import

Bernama
Ogos 17, 2020 12:07 MYT
Semua kes import berkenaan melibatkan mereka yang dikenakan Notis Tinggal Di Rumah sebaik tiba di Singapura.
Sebanyak 91 ke baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan di Singapura dalam tempoh 24 jam, dengan enam daripadanya adalah kes import, menjadikan jumlahnya kini adalah 55,838.
Menurut data ringkas yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura hari ini, semua kes import berkenaan melibatkan mereka yang dikenakan Notis Tinggal Di Rumah sebaik tiba di Singapura.
"Berdasarkan siasatan kami, sehingga kini tidak ada kes dalam komuniti," katanya.
Sementara itu kebanyakan kes melibatkan pemegang permit kerja yang sedang menjalani kuarantin.
Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, kementerian itu berkata terdapat kira-kira 19,900 pekerja masih menjalani tempoh kuarantin.
Sehingga tengah hari semalam Singapura mengklasifikasikan 806 daripada kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,206 sebagai kes komuniti dan 52,735 melibatkan penghuni asrama.
Sejumlah 51,953 pesakit, atau kira-kira 93 peratus daripada angka keseluruhan telah pulih sepenuhnya dari jangkitan dan dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahaan penjagaan komuniti.
Sementara itu 82 kes yang disahkan masih dirawat di hospital, namun tiada yang dimasukkan ke unit rawatan rapi.
Sejumlah 3,685 pesakit mengalami simptom ringan, atau sihat secara klinikal namun disahkan positif COVID-19, telah diasingkan dan dijaga di kemudahan penjagaan komuniti.
Sehingga kini 27 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan COVID-19 di Singapura, dan sehingga semalam, tiada kluster baharu dikesan.
#COVID-19 #Hospital #Kementerian Kesihatan #kesihatan #koronavirus #meninggal dunia #rumah #siasatan #Singapura #unit rawatan rapi