COVID-19: 6 maut, puluhan ribu alami simptom demam di Korea Utara

Astro Awani
Mei 13, 2022 08:10 MYT
Kim Jong Un melawat ibu pejabat Pusat Pencegahan Epidemik susulan pengesahan kes pertama COVID-19 di Korea Utara pada Khamis. -Reuters
PYONGYANG: Korea Utara memaklumkan enam warganya meninggal dunia sehari selepas negara itu mengesahkan kes pertama wabak COVID-19 pada Khamis.
Seramai 187,000 individu sedang "diasingkan dan dirawat" kerana mengalami simptom demam, menurut kenyataan rasmi negara itu pada Jumaat.
"Demam yang tidak dapat dikenal pasti puncanya merebak ke seluruh negara mulai akhir April.
"Enam orang meninggal dunia (seorang daripada mereka diuji positif untuk sub-varian BA.2 Omicron)," kata Agensi Berita Pusat Korea sepertimana dipetik portal France24.
Korea Utara berkata ia sedang beralih kepada "sistem pencegahan wabak kecemasan tahap maksimum" selepas pesakit di ibu negara Pyongyang diuji positif varian Omicron.
"Pada 12 Mei sahaja, kira-kira 18,000 orang mengalami simptom demam di seluruh negara, dan sehingga kini sejumlah 187,800 orang sedang diasingkan dan dirawat," kata KCNA.
Dengan 25 juta penduduknya tidak diberi vaksin terhadap COVID-19, infrastruktur kesihatan Korea Utara kini bergelut untuk menangani wabak besar, kata pakar.
Pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un mengadakan mesyuarat tergempar Politbiro pada Khamis dan mengarahkan pelaksanaan sekatan pergerakan di seluruh negara dalam usaha mengekang penyebaran virus itu.
Pada Jumaat, KCNA berkata Kim melawat ibu pejabat Pusat Pencegahan Wabak dan "mempelajari tentang penularan COVID-19 di seluruh negara".
#COVID-19 #Kim Jong Un #Pyongyang #Korea Utara
;