COVID-19: 50 kes baharu di Singapura, lima kes import
Bernama
Ogos 22, 2020 17:17 MYT
Ogos 22, 2020 17:17 MYT
Sejumlah 50 kes baru jangkitan COVID-19 telah dilaporkan di Singapura untuk tempoh 24 jam lepas dengan lima merupakan kes import, menjadikan jumlah keseluruhan di republik itu 56,266.
Menurut data ringkas yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini, kesemua kes import itu telah dikenakan Notis Tinggal Di Rumah, sebaik tiba di negara itu.
Berdasarkan siasatan sehingga kini, kementerian itu menyatakan terdapat dua kes dalam komuniti, kedua-duanya warganegara Singapura.
Dalam data penuh yang dikeluarkan pada lewat Jumaat, republik itu telah mengklasifikasikan 835 daripada kes dilaporkan sebagai kes import, 2,215 sebagai kes komuniti dan 53,155 kes penghuni asrama pekerja asing.
Kementerian itu menyatakan, pada masa ini terdapat kira-kira 14,300 pekerja yang masih menjalani tempoh kuarantin.
Pekerja-pekerja ini akan diuji semula apabila tempoh kuarantin mereka tamat.
"Kami menjangkakan jumlah kes akan terus tinggi dalam hari yang akan datang, sebelum ia berkurangan selepas itu," katanya.
Sejumlah 53,651 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah didiscaj daripada hospital atau fasiliti penjagaan komuniti.
Sementara itu, 72 kes yang disahkan masih ditempatkan di hospital, namun tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi.
Sejumlah 2,466 pesakit yang bergejala ringan dan mereka yang secara klinikalnya sihat, tetapi masih diuji positif COVID-19, masih diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.
Sehingga kini, 27 maut akibat komplikasi COVID-19 di republik itu.
Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam.
-- BERNAMA