COVID-19: 40 juta dos vaksin bakal diedar ke seluruh AS akhir tahun ini

Astro Awani
November 18, 2020 07:30 MYT
Pengeluaran vaksin akan ditingkatkan selepas itu dan matlamat utama adalah membuatkan vaksin COVID-19 semudah mendapat suntikan selesema. -Bernama
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menjangkakan 40 juta dos daripada dua vaksin akan diedarkan di seluruh negara pada akhir Disember sementara menunggu kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) ketika ini.
Setiausaha Kesihatan Amerika, Alex Azar berkata vaksin dihasilkan Pfizer dan Moderna di bawah program Warp Speed akan menyediakan dua dos vaksin kepada pekerja kesihatan dan golongan rentan di AS terlebih dahulu.
"Kita sekarang mempunyai dua vaksin selamat dan sangat berkesan yang dapat disahkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) serta siap diedarkan dalam beberapa minggu.
"Pada akhir bulan Disember, kita menjangkakan terdapat sekitar 40 juta dos dari dua vaksin ini untuk diedarkan sementara menunggu kebenaran FDA, cukup untuk memberi vaksin kepada sekitar 20 juta rakyat Amerika yang paling berisiko.
"Pengeluaran, tentu saja akan terus meningkat setelah itu," katanya.
Jelasnya pengeluaran vaksin akan ditingkatkan selepas itu dan matlamat utama adalah membuatkan vaksin COVID-19 semudah mendapat suntikan selesema.
Azar berkata di bawah program Warp Speed, kerajaan telah membayar vaksin tersebut dan rakyat Amerika akan mendapat vaksin itu secara percuma.
Dalam sidang media yang sama, Ketua Pegawai Operasi Program Warp Speed, Jeneral Gustave Perna berkata pengedaran vaksin di seluruh Amerika akan bermula dalam masa 24 jam selepas FDA memberikan kelulusan penggunaan kecemasan vaksin.
“Kami akan memulakan pengedaran vaksin dalam masa 24 jam setelah kebenaran penggunaan kecemasan dipersetujui.
"Hanya setelah sains menentukan dan menyetujuinya, maka kami bersedia untuk memulakan pengedaran.
“Pengedaran akan dilakukan dari laman web pengisian dan kami akan pergi ke semua 64 wilayah yang dipertanggungjawab bagi memastikan mereka mendapat vaksin dalam masa 24 jam.
"Oleh itu, setiap orang, setiap wilayah akan mendapat akses segera,” katanya.
Walaupun berita mengenai vaksin bakal tersedia namun ia tidak hadir ketika mana Amerika merekodkan kes keseluruhan COVID-19 melebihi 11 juta pada minggu lalu.
Negara itu sedang menghadapi lonjakan kes baharu dengan hanya tempoh seminggu merekodkan 1 juta kes mencetus kebimbangan setiap negeri untuk melaksanakan sekatan menjelang musim cuti.
Angka kematian di Amerika pula kini mencecah 246,000 kes.
#vaksin #Amerika Syarikat #COVID-19 #FDA #Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan #Alex Azar #Pfizer #Moderna #Warp Speed
;