COVID-19: 34 kes baru di Singapura, dua kes import

Bernama
September 5, 2020 18:05 MYT
Singapura dalam laporan awalnya mengesahkan 34 kes COVID-19 baru untuk tempoh 24 jam lepas. - Gambar fail/REUTERS
Singapura dalam laporan awalnya mengesahkan 34 kes COVID-19 baru untuk tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah jangkitan kepada 56,982.
"Mengikut siasatan kami sehingga kini, terdapat tiga kes dalam komuniti, di mana seorang merupakan warga Singapura dan dua pemegang pas kerja," menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam data ringkas dikeluarkan hari ini.
Kementerian itu menyatakan terdapat dua kes import dan kedua-duanya telah dikenakan Notis Tinggal di Rumah sebaik tiba di Singapura.
Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, republik itu mengklasifikasikan 921 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,222 kes komuniti dan 53,805 melibatkan penghuni asrama pekerja.
Sejumlah 56,174 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan 51 kes yang disahkan masih berada di hospital, namun tidak ada pesakit yang ditempatkan di unit rawatan rapi.
Seramai 696 pesakit yang bergejala ringan, atau secara klinikalnya sihat tetapi masih diuji positif COVID-19, telah diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.
Sehingga kini, 27 kematian akibat komplikasi COVID-19 dilaporkan di republik tersebut.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Kementerian Kesihatan SIngapura #kes baharu #kes import #Notis Tinggal di Rumah #Singapura
;