COVID-19: 11 kes baharu di Singapura, ada yang positif B117 dalam saringan awal
Bernama
Februari 9, 2021 04:15 MYT
Februari 9, 2021 04:15 MYT
SINGAPURA: Sebanyak 11 kes jangkitan baharu COVID-19 dilaporkan di Singapura semalam dan satu daripadanya termasuk seorang kru kabin Singapore Airlines yang saringan awalnya didapati positif strain B117, kata Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu.
Dalam laporan lengkapnya di sini, kementerian itu berkata wanita rakyat Singapura berusia 41 tahun itu berlepas dari Singapura pada 30 Jan lepas dalam satu penerbangan ke Emiriah Arab Bersatu yang kembali pada 1 Feb lalu dan dia tidak pernah turun daripada pesawat semasa di destinasi seberang laut itu.
Pada 7 Feb lepas, MOH berkata kru kabin itu didapati positif COVID-19 dalam saringan yang merupakan sebahagian daripada peraturan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura yang mewajibkan kru kabin disaring sebaik tiba dari luar negara.
"Keputusan ujian tergembleng ke atasnya didapati positif COVID-19 pada 8 Feb dan dia dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit untuk calitan individu dan diasingkan. Keputusan saringannya terhadap jangkitan COVID-19 didapati positif keesokan hari," katanya.
Dilabelkan sebagai Kes 60102 kru kabin itu menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 pada 2 Feb.
"Oleh kerana vaksin itu tidak mengandungi virus hidup, dia tidak mungkin dijangkiti menerusi pemvaksinan.
Ada kemungkinan untuk seseorang dijangkiti sebelum atau sebaik sahaja selepas menerima pemvaksinan kerana beberapa minggu diperlukan untuk seseorang membina keimunan selepas melengkapkan pemvaksinan," kata kementerian itu.
Selain Kes 60102, kementerian itu berkata empat lagi penumpang yang dalam penerbangan sama didapati positif COVID-19 dalam saringan awal bulan ini dan juga didapati positif strain B117 di peringkat awal.
Setakat 12 tengah hari semalam, tiada kes penularan tempatan dilaporkan di Singapura, kesemuanya adalah kes import dan menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 59,732 kes.
-- BERNAMA
#Singapura
#COVID-19
#penerbangan
#vaksin
#pesawat
#Kementerian Kesihatan
#kru kabin
#Singapore Airlines
#ujian saringan
#UAE