COP29: Podesta jamin usaha iklim AS diteruskan walaupun Trump kembali ke White House

Astro Awani
November 12, 2024 08:00 MYT
John Podesta bercakap pada sidang media sempena COP29 di Baku, Azerbaijan, 11 Nov 2024. (Foto AP)
BAKU: Utusan Khas Amerika Syarikat (AS) mengenai perubahan iklim, John Podesta, mengakui bahawa kemenangan semula Donald Trump sebagai Presiden akan memperlahankan komitmen negara itu terhadap agenda perubahan iklim.
Namun begitu, Podesta mahu negara-negara di seluruh dunia untuk menyakini AS dalam ekonomi tenaga bersihnya.
Pada hari pertama Sesi ke-29 Persidangan Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP29) di ibu negara Azerbaijan ini, Podesta menyatakan bahawa kemenangan Trump dalam pilihan raya minggu lepas adalah “amat mengecewakan.”
“Apa yang ingin saya sampaikan hari ini ialah, walaupun kerajaan persekutuan AS di bawah kepimpinan Trump mungkin membelakangkan pelan tindakan iklim, tetapi usaha untuk mengekang perubahan iklim akan tetap diteruskan di AS,” katanya.
Beliau menambah, undang-undang iklim yang diusahakan Presiden Joe Biden, iaitu Akta Pengurangan Inflasi (IRA), yang menyediakan subsidi bernilai berbilion dolar untuk tenaga bersih, akan terus mendorong pelaburan dalam teknologi solar, angin dan teknologi lain.
“Saya tidak rasa semua ini boleh dibatalkan. Adakah ia mungkin diperlahankan? Mungkin. Tetapi hala tuju sudah jelas,” kata Podesta.
“Ini bukan penghujung perjuangan kita untuk planet yang lebih bersih dan selamat. Fakta tetap fakta. Sains tetap sains. Perjuangan ini lebih besar daripada satu pilihan raya, satu kitaran politik di satu negara.
"Perjuangan ini lebih besar lagi, kerana kita semua hidup dalam tahun yang dicirikan oleh krisis iklim di setiap negara di dunia,” tambahnya.
Semasa berkempen pada pilihan raya presiden yang lalu, Trump menyatakan hasrat AS menarik diri daripada Perjanjian Paris yang bertujuan mengurangkan suhu global kepada di bawah 2 darjah Celsius.
Beliau juga berjanji untuk menghapuskan sebahagian daripada Akta IRA dan meningkatkan pengeluaran bahan api fosil yang sudah mencapai tahap tertinggi dalam sejarah.
Trump juga sebelum ini pernah menyifatkan peraturan pelepasan sebagai sebahagian daripada “penipuan hijau” dan mendakwa, tanpa butiran lanjut, turbin angin di laut membahayakan paus.
#Amerika Syarikat #tenaga bersih #John Podesta #COP29
;