COP29: Malaysia tetapkan agenda iklim penting, bersedia untuk masa depan lestari ASEAN

Bernama
November 14, 2024 11:10 MYT
Penyertaan Malaysia dalam COP29 tepat pada masanya untuk mengukuhkan mengukuhkan kedudukan mampan negara ini apabila memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan. - Foto fail/BERNAMA
BAKU: Penyertaan Malaysia dalam Persidangan Pihak-Pihak ke-29 (COP29) Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) tepat pada masanya untuk mengukuhkan kedudukan mampan negara ini apabila memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia bersedia mengambil peranan penting dalam memajukan agenda iklim pada peringkat serantau dan global serta memacu keterangkuman dan kemampanan yang lebih besar, memperjuangkan naratif yang berfokus kepada negara untuk mengangkat suara serantau pada COP29, dari 11 hingga 22 Nov.
Malaysia berikrar untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau global (GHG) sifar bersih menjelang 2050, satu langkah berani yang mencerminkan tekad negara ini untuk bertindak sekarang.
Selain itu, melalui COP29, Malaysia juga berhasrat menjadi hab pelaburan utama bagi projek hijau dengan menggalakkan dasar yang menyokong dan menerapkan pemikiran kerjasama, membuka jalan kepada pertumbuhan mampan dan inovasi.
Malaysia bakal mempamerkan pencapaian penting dalam tindakan iklim, menyokong kerjasama antara kerajaan yang lebih kukuh dalam inisiatif hijau dan mempromosikan amalan kelestarian negara di pentas dunia di Pavilion Malaysia pada COP29 bertemakan Shift for Sustainability: Climate Action Now!
Usaha itu juga selaras dengan objektif iklim Malaysia yang lebih luas dan menyokong tema kepengerusian ASEAN 2025 iaitu "Keterangkuman dan Kemampanan".
Dengan peranan utama ini, Malaysia turut menyeru kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara anggota ASEAN serta menggesa tindakan lebih tegas dalam bidang utama seperti pembangunan mampan, perlindungan alam sekitar dan kesaksamaan sosial, sejajar dengan Visi Komuniti ASEAN 2025 untuk memajukan rantau ini ke arah mencapai matlamat sifar bersih.
Delegasi Malaysia ke persidangan itu terdiri daripada 250 ahli yang diketuai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, merangkumi pembuat dasar, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perniagaan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (GLC) dan wakil belia.
Pada COP29 tahun ini, Malaysia bersedia menghadapi transformasi secara langsung, tanpa mengira halangan, menumpukan kepada tujuh teras ke arah mencapai pelepasan sifar bersih dan memperkukuh kemampanan negara.
Tujuh teras berkenaan ialah kewangan dan ekonomi, perdagangan dan industri, sumber asli, tenaga, teknologi dan inovasi, pembangunan mampan serta belia dan penyesuaian.
Melalui kluster strategik ini, Malaysia akan mempamerkan bidang tumpuan, kepimpinan dalam tindakan iklim, mengukuhkan kerjasama antarabangsa dan menarik pelaburan yang selari dengan strategi pertumbuhan hijau negara.
Sejak 2010, ekonomi hijau Malaysia menarik lebih RM10 bilion pelaburan dan mewujudkan 5,579 pekerjaan hijau melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS).
Pavilion Malaysia pada COP29 akan diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan kerjasama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) sebagai agensi pelaksana.
- BERNAMA
#COP29 #konvensyen perubahan iklim #UNFCCC #Pengerusi ASEAN
;