COP29: AS jamin tetap komited tangani pemanasan global

Astro Awani
November 13, 2024 10:00 MYT
Podesta berkata beliau yakin bandar, negeri dan rakyat AS akan terus berusaha mengatasi masalah pemanasan global. - Foto AP
BAKU: Washington memberi jaminan pemilihan semula Donald Trump sebagai Presiden tidak akan menamatkan usaha Amerika Syarikat (AS) untuk menangani pemanasan global.
Perkara itu ditekankan utusan AS, John Podesta dalam Persidangan Perubahan Iklim (COP29) yang diadakan di Baku, Azerbaijan, bermula pada Isnin.
Keputusan Trump, yang memenangi Pemilihan Presiden, memberi bayangan besar terhadap perbincangan penting di Baku, dengan pemimpin AS akan datang berjanji untuk menarik Washington keluar daripada Perjanjian Iklim Paris.
Undian itu menyebabkan delegasi AS buntu dan mencetuskan kebimbangan negara lain mungkin kurang bercita-cita dalam perdebatan rumit mengenai peningkatan pembiayaan iklim untuk negara membangun.
Podesta berkata, walaupun pentadbiran AS akan datang mungkin membuat pusingan-u dalam tindakan iklim, beliau yakin bandar, negeri dan rakyat AS akan terus berusaha mengatasi masalah pemanasan global.
“Walaupun kerajaan persekutuan AS di bawah Donald Trump mungkin mengutamakan isu lain dan meletakkan tindakan perubahan iklim di belakang, usaha untuk menangani perubahan iklim akan tetap diteruskan di AS dengan komitmen, semangat dan keyakinan," katanya.
Sidang kemuncak di Baku dimulakan dengan Ketua Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Simon Stiell, yang menggesa negara untuk menunjukkan kerjasama penuh global.
Pertemuan itu diadakan selepas amaran terbaharu bahawa dunia berada jauh di landasan untuk memenuhi matlamat Perjanjian Paris.
PBB pada Isnin berkata, tahun 2024 mungkin akan memecahkan rekod suhu baharu dan matlamat Perjanjian Paris kini berada dalam bahaya besar.
Menurut laporan baharu Pertubuhan Meteorologi Sedunia PBB, tempoh dari 2015 hingga 2024 juga akan menjadi dekad paling panas yang pernah direkodkan.
Perjanjian iklim ini komited untuk mengekalkan pemanasan di bawah 2 darjah Celsius berbanding tahap pra-industri dan sebaik-baiknya di bawah 1.5 darjah Celsius.
#COP29 #perubahan iklim #pemanasan global #Perjanjian Paris
;