COP28 lulus dana bencana iklim

Astro Awani
Disember 1, 2023 09:00 MYT
Sultan Ahmed Al Jaber ketika persidangan COP28 yang diadakan di Dubai, UAE. - Foto REUTERS
DUBAI: Hari pertama Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP28) menyaksikan negara anggota meluluskan secara rasmi dana bencana iklim.
Presiden COP28 Sultan Ahmed Al Jaber sifatkan langkah ini sebagai bersejarah.
Wakil dari negara maju dan membangun merangka perjanjian itu tahun ini.
Dana ini akan membantu negara-negara rentan menghadapi kos kemusnahan akibat perubahan iklim, termasuk kemarau, banjir dan kenaikan air laut.
Ada apa dengan COP28 dan mengapa ia begitu penting
"Hakikat kita berjaya mencapai kejayaan signifikan pada hari pertama COP adalah sangat mengagumkan.
"Ini adalah bersejarah, hakikatnya kita berjaya memulakan dengan agenda yang diundi dan setuju tanpa sebarang penangguhan, untuk mereka yang terlibat dalam COP sebelum ini, ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku," katanya.
Sidang COP28 bakal menyaksikan siri rundingan berterusan berkaitan pelepasan kadar gas karbon, sektor minyak dan gas, yang menyumbang faktor utama pelepasan.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengalu-alukan pelancaran dana bencana iklim di sidang COP28.
Beliau menerusi jurucakapnya Stephane Dujarric sifatkan, dana itu akan menjadi alat penting untuk memperjuangkan keadilan iklim kepada komuniti paling rentan.
"Setiausaha Agung PBB mengalu-alukan keputusan diambil ketika pembukaan COP28, untuk memulakan operasi dana bencana, alat penting untuk menyampaikan keadilan iklim kepada golongan paling rentan.
"Beliau (Guterres) juga merayu supaya pemimpin dunia menyumbang untuk memastikan dana ini dimulakan dengan asas yang kukuh," katanya.
#COP28 #dana bencana iklim #Sultan Al Jaber #siri rundingan
;