COP26 labuh tirai dengan perjanjian iklim baharu

Astro Awani
November 14, 2021 12:58 MYT
Persidangan tamat setelah Presiden COP26 Alok Sharma mengumumkan hampir 200 negara akhirnya bersetuju dengan perjanjian baharu khusus bagi mengurangkan penggunaan arang batu. Foto - REUTERS
SIDANG kemuncak COP26 di Glasgow, Scotland melabuhkan tirai dengan perjanjian iklim baharu selepas pemimpin dunia dan perunding bergelut mencapai kata sepakat selama dua minggu.
Persidangan tamat setelah Presiden COP26, Alok Sharma mengumumkan hampir 200 negara akhirnya bersetuju dengan perjanjian baharu khusus bagi mengurangkan penggunaan arang batu, walaupun persetujuan dicapai beberapa jam selepas sidang dijadualkan tamat pada Jumaat.
Perjanjian tersebut juga menekankan pengurangan kadar pelepasan serta menjanjikan lebih banyak dana buat negara-negara membangun dalambagi mendepani impak iklim.
Bagi pihak yang menyokong, perjanjian itu dilihat dapat membantu mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius.
Namun, kebanyakan pihak turut kecewa dengan rundingan perjanjian itu yang berdepan beberapa halangan pada saat akhir, antaranya apabila India membantah komitmen untuk menghentikan arang batu secara khusus.
Ketika itu, Menteri Iklim India Bhupender Yadav mempersoalkan tentang bagaimana negara-negara membangun ingin menghentikan subisidi arang batu dan bahan api lain sedangkan mereka “masih perlu menangani agenda pembangunan dan pembasmian kemiskinan”.
Selain itu, India turut mempersoalkan fokus khusus terhadap arang batu, manakala penggunaan bahan api lain tidak disentuh dalam perjanjian berkenaan sekaligus memberi kesan yang tidak seimbang terhadap negara-negara membangun seperti India dan China berbanding negara maju yang menggunakan bahan api lain.
Ketika rundingan berlangsung, India menegaskan bahawa semua bahan api perlu dikurangkan secara sama rata, bukan sahaja arang batu.
Susulan itu, negara-negara akhirnya bersetuju untuk mengubah terma dalam perjanjian itu, daripada “menghentikan secara berperingkat” (phase out) penggunaan arang batu kepada “mengurangkan secara berperingkat” (phase down) bahan api tersebut.
Malah, Sharma menahan sebak ketika menyampaikan ucapan penutup COP26 dan meminta maaf kepada pihak yang kecewa terhadap rundingan itu, manakala Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pula memberi amaran tegas kepada dunia.
“Bumi ini bagai telur di hujung tanduk. Kita masih menghampiri suatu malapetaka iklim,” kata Guterres.
#COP26 #Glasgow #iklim #perjanjian
;