COP26: Dunia ibarat diikat dengan bom, menanti masa meletup - Boris Johnson

Nickyson Nyambar
November 1, 2021 00:07 MYT
Selain Perdana Menteri UK Boris Johnson, COP26 turut disertai lebih 130 pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden; Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison. - Gambar REUTER
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri United Kingdom (UK) Boris Johnson menyifatkan dunia ibarat diikat dengan sebutir bom yang hanya menanti masa untuk meletup.
Analogi itu diungkapkan oleh beliau dalam ucapan pembukaannya sempena Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Perubahan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), COP26 pada Isnin.
Ujarnya, dunia diancam dengan masalah perubahan iklim yang semakin meresahkan yang menjadi kesan daripada pembakaran arang, minyak dan gas asli.
"Selamat datang ke COP26. Selamat datang ke Glasgow dan ke Scotland yang terkenal dengan watak fiksyen, James Bond, yang mana watak ini selalunya berakhir dengan terikat pada alat letupan dan mencari wayar manakah yang harus ditarik bagi menghentikannya.
"Dalam masa yang sama jam digital terus berdetik menandakan masa semakin tamat.
"Kita (pemimpin) berada dalam situasi yang sama seperti James Bond. Kecuali situasi yang dihadapi adalah satu realiti dan bukannya filem. Alat letupan ini adalah sesuatu yang nyata," kata beliau.
Sehubungan itu, Johnson menyeru agar pemimpin dunia memainkan peranan dengan berbincang untuk mencari penyelesaian dalam pelepasan karbon.
Usaha itu, katanya, harus bermula hari ini.
Sementara itu, pewaris takthta Britain, Putera Charles yang hadir pada sidang yang sama turut menegaskan bahawa harapan dunia adalah terletak pada pemimpin dunia.
Oleh yang demikian, beliau yang juga pejuang alam sekitar menyeru agar semua berikrar untuk mencipta persekitaran yang membolehkan setiap sektor industri mengambil langkah wajar dalam menangani ancaman pemanasan global.
"Skala dan skop ancaman yang kita hadapi kini memerlukan kita untuk tampil dengan satu sistem global berdasarkan transformasi radikal terhadap ekonomi bahan api fosil kita kepada yang lebih lestari dan boleh diperbaharui.
"Jadi saudara saudari sekalian, ikrar saya adalah untuk membawa setiap negara bersama mencipta persekitaran yang membolehkan setiap sektor industri mengambil langkah wajar dalam menangani isu ini.
"Saya tahu ia akan memakan trilion dan bukan bilion dolar. Kita juga sedar bahawa terdapat negara yang dihimpit dengan hutang tidak mampu beralih ke tenaga hijau.
"Di sini kita memerlukan kempen besar-besaran dengan cara ketenteraan untuk memacu kekuatan sektor swasta global," seru beliau dalam sidang kemuncak itu.
COP26 yang dihadiri oleh Putera Charles dan Boris Johnson turut disertai lebih 130 pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden; Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison.
Sidang kemuncak berkenaan menekankan penyelesaian isu-isu besar khasnya yang menyentuh mengenai perubahan iklim dunia sebagai agenda utama.
Sidang COP26 ini akan berlangsung sehingga 12 November depan.
#Perdana Menteri UK #Boris Johnson #COP26 #perubahan iklim
;