COP26: Campur tangan kerajaan penting tangani isu perubahan iklim - Zeti

Nickyson Nyambar
November 12, 2021 20:45 MYT
Zeti berkata, campur tangan kerajaan penting dalam usaha menangani isu perubahan iklim seluruh dunia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Penglibatan kerajaan penting dalam menangani isu perubahan iklim yang sedang dihadapi dunia ketika ini.
Pandangan itu disuarakan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang menyokong kenyataan oleh pakar ekonomi terkenal, Adam Smith dalam bukunya, 'The Wealth of Nations' yang menjelaskan berkenaan cabaran kontemporari dihadapi dunia serta perubahan iklim.
"Sehingga kini, bumi telah menyumbang ke arah mengekalkan kehidupan manusia. Bagi mereka yang berada dalam era Smith, idea bahawa aktiviti manusia boleh memberi kerosakan terhadap kapasiti bumi untuk mengekalkan kehidupan manusia bagai tidak difikirkan.
"Walau bagaimanapun, seperti yang kita sedia maklum, (bumi) kini dalam ambang risiko kemusnahan dan sekali gus menafikan hak generasi masa hadapan.
"Perlindungan alam sekitar pastinya sesuai dengan rangka kerja keseluruhan Adam Smith seperti yang diterangkan dalam buku V 'The Wealth of Nations'," kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat bersempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-16 (COP26) yang diadakan di Glasgow, Scotland.
Beliau melihat ideologi 'tangan ghaib' yang ditafsirkan Smith dalam bukunya ibarat sama seperti 'tangan yang membantu' dalam menangani isu perubahan iklim.
"Campur tangan kerajaan adalah perlu dalam bidang yang mana agenda untuk melindungi kesejahteraan sememangnya berkaitan keselamatan serta kewujudan manusia.
"Dalam keadaan tertentu seperti ini, amaran berkenaan bencana akibat perubahan iklim perlu diambil kira oleh kerajaan, malah ia sebenarnya adalah merupakan tanggungjawab paling penting negara," tegas beliau yang juga Pengasas dan Pengerusi Bersama Asia School of Business (ASB).
Malah kata Zeti, idea Smith menyokong tindakan kerajaan ke arah melestarikan alam sekitar dengan menyediakan peraturan dan insentif bagi industri swasta dalam menyediakan pelaburan yang sesuai untuk menangani isu perubahan iklim dunia.
#COP26 #perubahan iklim #Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia BNM #Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz
;