Contengan rasis: Lelaki kutuk Melayu dihukum penjara 13 bulan, sembilan sebatan
Agensi
Jun 18, 2019 17:48 MYT
Jun 18, 2019 17:48 MYT
Seorang lelaki yang menconteng tiang dengan mesej bersifat perkauman di kawasan Geylang, Singapura dihukum penjara selama 13 bulan dan sembilan sebatan, oleh mahkamah negara itu.
Portal berita Channel NewsAsia melaporkan, Chen Jianbang, 31, juga dijatuhi hukuman penjara tambahan selama 60 hari kerana melanggar perintah berkelakuan baik selepas dilepaskan dari hukuman penjara pada 2017 kerana kesalahan pecah masuk kediaman.
Dalam tempoh seminggu pada Januari tahun ini, tertuduh menconteng lebih daripada 10 mesej rasis menggunakan pen dakwat kekal di tempat awam seperti dinding dan siar kaki berbumbung di Geylang dan Aljunied, iaitu tempat yang popular dalam kalangan komuniti Melayu republik itu.
“Mesej-mesej itu ditulis dengan niat yang jelas untuk melukakan perasaan komuniti Melayu,” ujar Timbalan Pendakwaraya Umum, Shen Wanqin.
Selain graffiti yang bersifat perkauman, tertuduh juga menconteng beberapa lagi kata-kata kesat di dinding sebuah hotel dan kotak lampu isyarat di Geylang.
Chen mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan vandalisme dan menyakitkan perasaan kaum lain, manakala 12 pertuduhan lain sedang dipertimbang untuk dijatuhkan hukuman.
Aksi vandalisme tertuduh disedari oleh beberapa saksi, termasuk penjaga stesen MRT Aljunied, seorang anggota polis dan orang awam, yang kemudiannya membuat aduan polis.
Berdasarkan rekod, tertuduh mempunyai beberapa kesalahan lampau seperti salah laku merosakkan harta awam, penipuan dan mencuri.
Singapura adalah negara yang mempunyai penguatkuasaan cekap dan hukuman berat berkaitan kesalahan vandalisme. Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman sama ada denda ribuan dolar, penjara mahupun sebatan.