Congo umum penularan semula jangkitan Ebola
Astro Awani
Februari 8, 2021 07:10 MYT
Februari 8, 2021 07:10 MYT
KINSHASA: Republik Demokratik Congo mengumumkan penularan semula jangkitan penyakit Ebola di timur negara itu, hanya tiga bulan selepas penularan awal wabak itu berjaya ditangani.
Kes jangkitan terbaharu dikenal pastu selepas seorang wanita di bandar Biena wilayah Lubero meninggal dunia akibat penyakit itu.
"Kami mempunyai satu lagi episod virus Ebola.
"Mangsa seorang petani, isteri kepada seorang mangsa Ebola, yang menunjukkan tanda-tanda khusus penyakit pada 1 Februari," kata Menteri Kesihatan Eteni Longondo kepada stesen televisyen RTNC.
Mangsa meninggal dunia pada 3 Februari, selepas sampel darahnya dikesan positif Ebola, kata menteri kesihatan itu lagi.
"Saya juga ingin memberitahu saudara-saudari di Butembo agar tidak panik kerana pasukan respons wilayah akan ke sana, disokong pasukan kebangsaan yang akan menyusul dalam beberapa hari mendatang," kata Longondo.
Republik Demokratik Congo mengisytiharkan pada 18 November berakhirnya wabak Ebola kesebelas yang meragut 55 nyawa daripada 130 kes selama hampir enam bulan di wilayah barat laut Equateur.
Mangsa terakhir yang disahkan pulih di Equateur adalah pada 16 Oktober 2020.