Congo umum berakhirnya wabak Ebola yang meragut 6 nyawa
Astro Awani
Mei 4, 2021 09:12 MYT
Mei 4, 2021 09:12 MYT
KINSHASA: Republik Demokratik Kongo pada Isnin mengumumkan berakhirnya wabak Ebola yang menjangkiti 12 orang di wilayah timur Kivu Utara dan mengorbankan enam daripadanya.
"Saya dengan sukacitanya mengumumkan berakhirnya wabak penyakit Ebola ke-12 di Provinsi Kivu Utara.
"Walaupun dengan masalah keselamatan dan pandemik COVID-19, kepantasan dan kecekapan tindak balas oleh pemerintah dan pihak bertanggungjawab memungkinkan kita mengatasi wabak ini dalam tempoh kurang dari tiga bulan," kata menteri kesihatan Jean-Jacques Mbungani dalam satu kenyataan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan pula memuji usaha yang dilakukan petugas kesihatan dan pihak berkuasa negara tersebut.
"Pujian harus diberikan kepada pekerja kesihatan setempat dan pihak berkuasa atas respons, ketekunan, pengalaman dan kerja keras pantas mereka yang membolehkan wabak ini berjaya ditangani," kata pengarah wilayah WHO di Afrika, Matshidiso Moeti.
Wabak itu berjaya dibendung menggunakan vaksin Ebola Merck (MRK.N) yang diberikan kepada lebih 1,600 pesakit dan kontak rapat, kata kumpulan bantuan Medecins Sans Frontieres (MSF), lapor Reuters.
Kes-kes tersebut dikaitkan secara genetik dengan wabak Ebola 2018-20 yang mengorbankan lebih 2,200 orang, jumlah tertinggi kedua yang tercatat dalam sejarah penyakit ini.
Kejadian terbaharu muncul pada 3 Februari di bandar Butembo dengan kematian seorang wanita yang suaminya dijangkiti virus itu dalam wabak sebelumnya.
Virus ini dapat bertahan dalam cairan tubuh, termasuk air mani daripada pesakit yang telah sembuh, walaupun mereka tidak lagi mengalami gejala penyakit yang teruk.
#Ebola
#kongo
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#petugas kesihatan
#vaksin
#pandemik
#WHO
#MSF
#Jean-Jacques Mbungani