Colorado kesan kes pertama babitkan varian baharu COVID-19
Astro Awani
Disember 30, 2020 11:40 MYT
Disember 30, 2020 11:40 MYT
NEGERI Colorado mencatatkan kes pertama di Amerika Syarikat membabitkan varian baharu COVID-19, yang asalnya dari Britain.
Gabenor Colorado, Jared Polis melalui ciapan Twitter miliknya berkata, pihaknya menemui varian COVID-19 tersebut, yang cepat menular, sebagaimana dikesan pertama kali di United Kingdom (UK).
"Hari ini kami mengesan kes pertama varian COVID-19 B.1.1.7 di Colorado, varian yang sama ditemui di UK," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
"Kesihatan dan keselamatan penduduk Colorado adalah keutamaan kami dan kami akan memantau dengan teliti kes ini."
Beliau yang memetik pegawai kesihatan negeri sebagai berkata, individu terbabit adalah lelaki berusia 20-an yang kini menjalani kuarantin di Elbert County dan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke UK.
Individu itu tidak mempunyai kontak rapat, tetapi keadaannya akan terus dipantau dengan sangat teliti sambil pihak berkuasa berusaha mengenal pasti kes-kes lain yang berpotensi melalui pengesanan kontak.
Dua kes varian pertama di benua Amerika Utara ditemui di Kanada pada hujung minggu lalu.
Kebimbangan tercetus oleh varian baharu COVID-19, yang menurut pakar, berpotensi lebih mudah ditularkan.
Badan Kesihatan Kesatuan Eropah (ECDC) mendedahkan, lebih 3,000 kes varian itu dilaporkan di UK serta puluhan negara di Eropah dan di seluruh dunia.
Di Afrika Selatan, lebih 300 kes varian lain direkodkan.
Tiga kes varian terbabit disahkan di Eropah iaitu dua di UK dan satu di Finland tetapi ketiga-tiganya dikaitkan dengan individu yang kembali dari Afrika Selatan.
#varian baharu
#COVID-19
#United Kingdom
#Amerika Syarikat
#Colorado
#Kes Pertama
#Twitter
#Kesatuan Eropah
#keselamatan
#kesihatan
#Afrika Selatan
#kontak rapat
#ECDC