Colombia buka kedutaan di Palestin - Presiden Petro
Bernama
Oktober 20, 2023 17:44 MYT
Oktober 20, 2023 17:44 MYT
ANKARA: Presiden Colombia Gustavo Petro pada lewat Khamis mengumumkan negaranya akan membuka kedutaan di pusat bandar Ramallah di Palestin.
Petro membuat kenyataan itu selepas bertemu Duta Palestin Raouf Al-Maliki.
"Saya telah menyatakan pendirian saya supaya persidangan keamanan antarabangsa diadakan bagi membuka jalan untuk mewujudkan dua negara merdeka dan bebas," lapor Agensi Anadolu memetik hantaran Petro di X selepas pertemuan itu.
"Kami akan menghantar pesawat membawa bantuan kemanusiaan ke pinggir Gaza, menunggu koridor kemanusiaan dibuka," katanya.
Kementerian Luar Colombia pada Isnin menuntut duta Israel "meminta maaf dan meninggalkan negara itu" selepas beliau mengkritik Presiden Petro kerana mengulas mengenai konflik Palestin-Israel, menurut laporan media.
Petro berkongsi beberapa catatannya di media sosial yang mengkritik rejim Israel sejak konflik bermula pada 7 Okt.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres telah menggesa gencatan senjata kemanusiaan segera untuk mengurangkan "penderitaan manusia yang berlarutan."
Sekurang-kurangnya 3,785 orang kehilangan nyawa di Semenanjung Gaza sejak pencerobohan terbaharu Israel bermula pada 7 Okt, manakala lebih 12,000 lagi individu cedera, menurut maklumat terkini Kementerian Kesihatan Palestin.
-- BERNAMA