Cliff Richard menang saman ke atas BBC
Agensi
Julai 19, 2018 09:33 MYT
Julai 19, 2018 09:33 MYT
Syarikat penyiaran Britain, BBC diperintah membayar ganti rugi kerosakan 200 ribu pound kepada penghibur legenda Cliff Richard.
Mahkamah Tinggi United Kingdom memutuskan syarikat penyiaran itu bersalah kerana menyiarkan serbuan polis ke atas penyanyi berusia 77 tahun itu.
Richard mengemukakan saman ke atas BBC berikutan liputan serbuan pada 2014 ketika dia disiasat atas dakwaan gangguan seksual.
Dia bagaimanapun tidak ditahan atau didakwa atas sebarang jenayah.
"Saya sedang mengawal diri saya sekarang tetapi saya pasti, apabila saya bercakap dengan orang mengenai perkara ini sekali lagi, saya akan menangis lagi.
"Ini (keputusan mahkamah) satu kelegaan yang amat sangat. Bukan sahaja untuk saya, tetapi juga untuk orang lain yang bekerja dengan saya, pengurus perniasaan saya, setiausaha saya, kawan-kawan saya, keluarga saya.
"Mereka juga menanggung deritanya bersama saya dan saya pasti mereka tidak sepatutnya mengalami keadaan ini," katanya kepada media di luar mahkamah.
Dalam samannya, Richard mendakwa reputasinya terjejas berikutan liputan berkenaan.
Katanya, dia berasa panik dan tidak bermaya apabila melihat helikopter milik syarikat penyiaran itu berlegar-legar di atas rumahnya.
Namun, BBC mempertahankan tindakannya, menyatakan ia dilakukan tanpa sebarang niat buruk.
Sementara itu Pengarah Berita Dan Ehwal Semasa BBC Fran Unsworth meminta maaf kepada Richard atas tekanan yang dihadapinya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan pihaknya akan membuat rayuan kepada mahkamah berhubung hukuman yang dijatuhkan.
#bbc
#Cliff Richard
#ganti rugi
#jenayah
#kerosakan
#mahkamah
#penyanyi
#penyiaran
#reputasi terjejas
#saman
#serbuan
#United Kingdom