Cinta hingga hujung nyawa, lelaki 94 tahun peluk bantal wajah isteri setiap malam

Najmi Syahiran Mamat
April 22, 2020 15:24 MYT
Benbow menitiskan air mata sejurus melihat foto isterinya pada bantal pemberian kakitangan pusat jagaannya di Thistleton Lodge, di Preston, England. - Gambar BBC
Tiada yang lebih menggembirakan seorang veteran Perang Dunia Kedua selepas mendapat hadiah sebiji bantal dengan cetakan wajah isteri kesayangannya yang meninggal dunia tahun lalu.
Ken Benbow, 94, kelihatan sebak dan menitiskan air mata sejurus melihat foto isterinya pada bantal pemberian kakitangan pusat jagaannya, Thistleton Lodge di Preston, England, baru-baru ini.
Sebelum ini, setiap malam dia tidur dengan memeluk gambar isterinya yang berada dalam bingkai kaca.
Bimbang tindakan itu boleh mencederakannya ketika tidur, penjaganya, Kia Mariah Tobin, 17, mengambil inisiatif menghadiahkan Benbow sebiji bantal dengan cetakan foto isterinya, Ada Benbow.
“Ada ialah seorang isteri yang paling terbaik, penyayang dan cantik. Apabila saya menerima bantal ini, ia menjadi barang yang paling berharga yang pernah saya dapat.
"Saya sedih kerana dia pergi sebelum saya tetapi dia kini sentiasa dalam dakapan saya setiap malam,” katanya kepada agensi berita BBC.
Benbow telah berkahwin sejak 71 tahun lalu sebelum Ada meninggal dunia pada usia 93 tahun akibat sakit tua.
Video reaksi Benbow menangis kegembiraan ketika menerima kusyen itu mula tular di media sosial kerana ramai tersentuh dengan reaksinya yang amat merindui isterinya.
#kasih seorang suami #Ken Benbow #media sosial #meninggal dunia #Thistleton Lodge #veteran #warga emas
;