Cimpanzi rampas, bunuh bayi
Bernama
Mac 29, 2023 18:30 MYT
Mac 29, 2023 18:30 MYT
KAMPALA: Seekor cimpanzi meragut bayi perempuan berusia dua bulan yang didukung ibunya di bandar Kagadi di barat Uganda lalu membunuhnya dalam kejadian pada Isnin.
Ibu bayi itu dalam perjalanan untuk menuai ubi kayu apabila cimpanzi itu tiba-tiba muncul dari semak berhampiran lalu merampas bayi bernama Aroho Ahmuza itu dan melarikannya ke dalam belukar.
Penduduk kampung yang mendengar jeritan wanita itu bergegas mengejar cimpanzi itu namun mereka menemui bayi itu dalam semak dengan kecederaan parah di kepala.
"Bayi itu dikejarkan ke Pusat Kesihatan Komuniti Kagadi untuk rawatan, namun meninggal dunia beberapa jam kemudian," lapor Anadolu Agency memetik Kunihira Kasaija, bapa kanak-kanak itu.
Dr Julius Birungi dari Pusat Kesihatan Komuniti Kagadi berkata bayi itu mengalami kecederaan teruk.
Kasaija merayu Pihak Berkuasa Hidupan Liar Uganda (UWA), sebuah agensi kerajaan yang memulihara dan menguruskan hidupan liar Uganda, untuk campur tangan dengan menempatkan semula cimpanzi di kawasan lain selain membayar pampasan atas kehilangan anaknya.
Kagadi terletak tidak jauh dari Taman Negara Kibale, yang menempatkan populasi terbesar cimpanzi di Afrika.
Konflik manusia-hidupan liar juga bukanlah sesuatu yang luar biasa di kawasan berkenaan.
Penduduk di kawasan itu mengkritik UWA yang tidak mengambil peduli walaupun beberapa kali kejadian serangan cimpanzi berlaku. Pada Jun 2022, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun cedera diserang haiwan itu ketika dalam perjalanan pulang bersama sekumpulan wanita dan kanak-kanak selepas mengambil air.
Wilson Amanyirwe, ketua UWA di rantau kecil Bunyoro berkata perancangan sedang dijalankan bagi menghalang haiwan berkenaan daripada menyerang masyarakat.
-- BERNAMA