CIA sertai Twitter, Facebook

Agensi
Jun 7, 2014 12:40 MYT
CIA sertai dunia media sosial
Agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) menyertai dunia media sosial pada Jumaat sekaligus menimbulkan cakap-cakap di kalangan pengguna laman Twitter.
“Kami tidak boleh mengesahkan atau menafikan bahawa ini merupakan Tweet pertama kami,” Agensi Perisikan Pusat (CIA) berjenaka di laman Twitter rasmi mereka.
Dalam masa dua jam, Tweet tersebut menerima 90,000 Retweet dan CIA menerima seramai 115,000 pengikut.
Segmen Kerajaan dan Politik Twitter menyambut penyertaan CIA dengan hashtag #BestPractice bagi ‘tweet pertama yang kreatif’.
Pengarah CIA, John Brennan berkata dalam satu kenyataan bahawa akaun Twitter dan Facebook baru itu bertujuan untuk membantu agensi tersebut ‘berinteraksi secara langsung dengan orang ramai serta menyediakan maklumat tentang misi CIA, sejarah dan perkembangan lain’.
“Kami mempunyai wawasan penting untuk dikongsikan,” kata Brennan.
Agensi tersebut telah pun mempunyai akaun YouTube dan Flickr.
Namun kemungkinan untuk agensi itu memuatnaik mengenai rahsia pengintipan mereka adalah tipis.
Sebaliknya, mereka bercadang untuk memuatnaik kenyataan media, maklumat tentang kerjaya bersama agensi itu atau mengenai sejarah misi mereka yang telah didedahkan.
Agensi tersebut juga akan memuatnaik gambar objek yang dipamerkan di muzium CIA yang dikenali sebagai ‘muzium terbaik yang tidak ramai berpeluang melihat’ kerana ia ditutup untuk orang ramai.
Dalam profil Twitter, CIA menggambarkan agensi mereka sebagai ‘barisan pertama pertahanan negara. Kami capai apa yang orang lain tidak mampu capai dan kami pergi ke tempat orang lain tidak boleh pergi’.
#CIA #Facebook #Twitter
;